REJIM ISRAEL mengancam untuk melancarkan kempen serangan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza dan rakyat Palestin yang dijangka berdepan ancaman konflik paling buruk.

Seorang menteri rejim pengganas Israel memberi amaran bahawa serangan berikutnya ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung akan lebih teruk berbanding pada tahun 2014.

Menteri Sainsi dan Teknologi Israel, Ophir Akunis mendedahkan perkembangan tindakan rejim itu ke atas Gaza baru-baru ini, serta potensi ketegangan yang akan terus meningkat di wilayah itu.

Akunis mendakwa, Hamas cuba mencabar rejim pengganas berkenaan selama tempoh dua minggu kebelakangan ini, dipercayai merujuk kejadian di pagar sempadan.

“Dasar kerajaan (Israel) adalah jelas. Jika keadaan perlu, tidak mustahil tindakan lebih agresif akan berlaku di Semenanjung Gaza.

“Salah jika mendedahkan kepada media strategi operasi. Kita tahu musuh mendengar kita setiap masa, dan tidak bagus jika mereka tahu apa yang perlu dipersiapkan, tetapi apa yang lebih jelas tindakan di pihak kami (Israel) akan jauh lebih agresif daripada Operasi Perlindungan Sempadan dan Rukun Operasi Pertahanan,” kata menteri itu.

Rukun Operasi Pertahanan pada tahun 2012 menyaksikan rejim Israel membunuh lebih 165 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Sementara Operasi Perlindungan Sempadan pada 2014 pula dianggap tragedi paling ‘buruk’ dalam sejarah apabila rejim berkenaan membunuh lebih 2,200 rakyat Palestin, termasuk 500 kanak-kanak.

Akunis mendakwa, pihaknya sudah mempertimbangkan pelbagai perkara untuk melancarkan kempen serangan berkenaan, termasuk dari sudut ketenteraan, senjata tambahan dan sistem lain.

“Apa yang pasti, pilihan raya pada September tidak akan menghadkan kempen menentang Gaza,” katanya. – AGENSI, 19 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.