PENGERUSI UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yakin kerjasama UMNO-PAS mampu menawan negeri itu daripada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa dan sokongan tinggi yang ditunjukkan masyarakat setempat di peringkat akar umbi.

Pada masa yang sama kerajaan DAP-PH hari ini dilihat gagal malah semakin celaru dengan pelbagai isu di peringkat nasional.

“UMNO dan PAS Kedah juga perlu mengelakkan dari sebarang kelemahan yang boleh menjejaskan kerjasama yang sedang dibina sekarang,” katanya

Menurut Jamil Khir lagi, rakyat di peringkat akar umbi yang terdiri dari ahli UMNO mahupun PAS mahu kerjasama ini dipertahankan dan diterjemahkan dalam peti undi pada PRU15 nanti.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya berkata, Konvensyen Perpaduan Ummah Peringkat Kedah akan diadakan pada 28 September nanti.

“Konvensyen ini adalah rentetan kepada hari penting kita pada 14 September iaitu tandatangan Piagam Muafakat Nasional yang diadakan di PWTC,” katanya.

Sementara itu, program hari ini ialah perjumpaan semua kepimpinan PAS dan UMNO Kedah adalah langkah-langkah awal bagi pengukuhan pemuafakatan peringkat negeri.

Program berlangsung di Kompleks PAS Kedah.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, PAS memenangi 15 kerusi dan BN hanya memenangi tiga kerusi.

Dalam blok PH pula, PKR lapan kerusi, Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sebanyak lima kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) tiga kerusi dan DAP dua kerusi. Keseluruhan 18 kerusi.

Kemudiannya ADUN BN, Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail bertindak keluar parti dan memilih menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan PH Kedah.

Jadi ketika ini, PH hanya berkelebihan 1 kerusi sahaja.

Jumlah keseluruhan kerusi Dun Kedah ialah 36.

Berdasarkan kedudukan kerusi tersebut dan perkembangan semasa, peluang untuk gabungan UMNO-PAS merampas kembali Kedah amat cerah. – 22 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.