DATUK Seri Dr Mujahid Yusof mengingatkan pihak pembangkang supaya tidak mempolitikkan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pembangkang kini memberi gambaran seolah-olah Islam itu berada dalam keadaan terancam di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, beliau sendiri akan turun padang ke seluruh negara bagi menerangkan isu dan dasar pentadbiran kerajaan kepada masyarakat.

“Jadi, jika nak ambil dua atau tiga contoh mengatakan Islam terancam dengan menggambarkan keseluruhan kegagalan, bagi saya itu sudah melampau.

“Saya ingatkan mereka, jangan kerana politik kita menggadaikan dan meletakkan Islam sebagai modal,” katanya.

Mujahid turut menambah bahawa pihak pembangkang sejak dahulu lagi dilihat suka menguar-uarkan Islam terancam di bawah PH, namun gagal memperincikan bentuk ancaman itu bagaimana.

“Kalau dimaksudkan terancam itu hanya dialaskan kerana DAP.

“Maka hebatlah DAP sampai Islam boleh terancam.

“Sedangkan kami di Kabinet, segala keputusan dibahas dan dibincangkan mengikut kaedah dan tiada isu yang dianggap terancam,” katanya.

Selain itu, Mujahid memohon pembangkang agar tidak keliru sama ada mereka sendiri terancam sehingga timbul dakwaan bahawa Islam juga terjejas, namun perkara demikian tidak berlaku sama sekali.

Dalam perkembangan lain, Mujahid memaklumkan kerajaan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan kemasukan penceramah luar untuk berceramah dalam negara ini.

“Kabinet sebelum ini juga sudah bersetuju bahawa kehadiran penceramah berkenaan mestilah mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya. – 22 Ogos 2019

2 COMMENTS

  1. Kau jagalah parti kau, tak perlu sebok ambik tau pasal PAS dsn UMNO, kami tau DAP dsh macam cacing kepanasan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.