PRESIDEN Persatuan Penulis Nasional Malaysia menggesa nama program Malaysia Sports Challenge (MySC) ditukar kepada bahasa Melayu sebagai penggunaan rasmi negara.

Mohamad Saleeh Rahamad berkata, ia merupakan program rasmi kerajaan jadi seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

“Mereka seharusnya mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan khususnya menjelang Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-62 Malaysia.

“Nama Hari Sukan Negara (HSN) yang ditukar kepada MySC itu boleh ditukar kepada Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain.

“Perubahan cara sambutan MySC sepanjang bulan Oktober, berbanding dengan HSN yang hanya diadakan sehari bukan alasan yang boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan bahasa lain boleh digunakan sekiranya ia dilaksanakan di peringkat antarabangsa yang bukan rasmi.

“Sasaran MySC sebanyak lima juta penyertaan melibatkan semua peringkat umur berbanding HSN yang hanya melibatkan sasaran dua juta peserta tidak ada hak untuk menafikan bahasa Melayu.

“Kerajaan tidak perlu menambahkan suasana kehangatan sedangkan pergeseran antara kaum sudah semakin tegang.

“Sangat tidak wajar kerajaan mencabar sensitiviti para nasionalis lagi,” katanya.

Tambah Mohamad Saleeh, semua pihak mahu menggoncang Perlembagaan sedangkan rakyat yang berada di bawah dan setia ini yang bersusah payah mempertahankannya.

“Jika rejim terdahulu menggunakan nama Fit Malaysia kini rejim baharu pula menggunakan Malaysia Sports Challenge.

“Kerajaan sendiri merosakkan negara ini,” tegasnya. – 22 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.