PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menolak dakwaan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja tidak hadir pada mesyuarat pemimpin kanan komponen parti Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengarah Komunikasi parti, Fahmi Fadzil berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh pengasas bersama parti BERSATU, Khairuddin Abu Hassan itu adalah tidak masuk akal dan mempunyai unsur jahat.

“Mesyuarat yang dirujuk oleh beliau adalah mesyuarat khusus buat pimpinan PH yang mula-mula terlibat dalam pembentukan kabinet pada Mei 2018.

“Pertemuan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian-kementerian.

“Ini bermaksud PKR diwakili Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika pembentukan kerajaan pasca PRU14 merupakan presiden PKR,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Khairuddin yang bukan anggota mana-mana parti komponen PH, pagi ini, mengeluarkan kenyataan yang menuduh Anwar sebagai ego dan tidak menghormati Mahathir.

“Apa penting sangat mesyuarat biro politik parti PKR bila semua sepatutnya hadir ke mesyuarat tersebut?

“Mana yang lebih penting apabila perdana menteri jemput semua presiden-presiden parti komponen untuk hadir mesyuarat,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Selain itu, Khairuddin juga berkata Anwar harus menghormati perdana menteri dan memberi keutamaan dalam hal pentadbiran kerajaan.

“Kini pihaknya masih di bawah kepimpinan perdana menteri dan harus hormati PM sekarang.

“Sekiranya nak jadi tokoh pemimpin, kita kena pandai bagi keutamaan dalam hal-ehwal pentadbiran PH.

“Kalau ini pun tak tahu nak menilai macamana hendak jadi pemimpin yang baik,” katanya. – 22 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.