PEMIMPIN Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyuarakan kekesalannya terhadap pihak dalam Pakatan Harapan (PH) yang mengambil pendirian bertentangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan Lynas hanya kerana perbezaan’ideologi’ mereka.

Melawat kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan hari ini, Wan Saiful membangkitkan kenyataan Mahathir berkenaan pandangan pakar yang membawa kepada lanjutan lesen operasi Lynas untuk enam bulan.

“Tetapi ada pula beberapa rakan parti komponen yang memberi pandangan bertentangan dengan Mahathir semata-mata kerana ideologi mereka. Ini satu perkara yang saya kesali.

“Dalam menangani kontroversi Lynas, Mahathir mahu kita berpegang dengan fakta. Tidak wajar ada yang terus-menerus memainkan propaganda. Politik dan pembuatan dasar Malaysia Baru harus berteraskan maklumat yang tepat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar daripada lawatan itu, yang turut disertai beberapa pemimpin dan anggota Bersatu, antaranya Pengerusi Bersatu Pahang Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil dan anggota MPT Akhramsyah Sanusi dan Faiz Na’aman.

Menceritakan tentang lawatan itu, Wan Saiful berkata mereka diberi taklimat lengkap dan dibawa melawat kawasan kilang.

Beliau berkata Lynas mengutamakan warga tempatan dalam pengambilan kerja termasuk dalam bidang berkemahiran tinggi dan menyifatkan ia akan menjadi pengalaman berharga dan akan menyumbang kepada kemajuan negara.

Pada 15 Ogos lalu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengumumkan lesen operasi Lynas dilanjut enam bulan lagi, dengan beberapa syarat untuk mengekang pengeluaran sisa radioaktif dalam masa empat tahun.

Antaranya syarikat itu perlu mengemukakan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif, dipanggil ‘cracking and leaching’, di luar negara dan ia hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, Lynas juga perlu menamatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usahanya untuk mengkomersialkan residu Water Leach Purification (WLP) kepada baja pertanian, Condisoil, dengan 0.5 peratus daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha itu sebelum ini hendaklah dikemukakan kepada kerajaan sehinggalah kemudahan ‘cracking dan leaching’ di luar negara mula beroperasi.

Antara pemimpin PH yang terus lantang membantah operasi Lynas ialah Anggota Parlimen Bentong Wong Tack dan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

DAP pula dilihat menjadi parti komponen PH yang paling lantang menentang perkara itu. Sehari selepas pengumuman lanjutan lesen Lynas, kesemua tujuh adun DAP di Pahang dalam satu kenyataan bersama membantah keputusan itu.

Dua hari lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa lebih banyak rundingan dan kajian dibuat mengenai keputusan itu, termasuk berhubung penambahbaikan syarat-syarat yang dikenakan terhadap Lynas. – 22 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.