URA-URA rombakan kabinet kerajaan Pakatan Harapan bertiup kencang.

Menurut sumber, sekurang-kurangnya empat portfolio akan disusun semula.

Antara portfolio yang menjadi tumpuan termasuk Hal Ehwal Ekonomi, yang dipegang Datuk Seri Azmin Ali, Perpaduan Negara dan Integrasi National yang dipegang Senator P. Waytha Moorthy, Pendidikan yang kini dipegang Dr Maszlee Malik dan juga Pembangunan Luar Bandar yang dipegang Datuk Seri Rina Harun.

Waytha, Maszlee, dan Rina mungkin digugurkan kerana kelemahan prestasi, manakala Azmin digugurkan kerana terdapat pengganti yang lebih cekap dalam ekonomi.

Bagi penilaian prestasi, kebelakangan ini terlalu banyak kelopongan dan isu berkaitan tiga kementerian melibatkan Waytha, Maszlee dan Rina termasuklah isu perkauman yang semakin tegang, isu pembelajaran tulisan khat-jawi, dan dasar luar bandar yang tidak jelas.

Waytha gagal menangani masalah perkauman hingga berlaku rusuhan dan kematian di kuil Seafield, USJ, serta kebencian kaum yang terlalu banyak dibangkitkan di media sosial.

Maszlee pula dilihat antara menteri yang cukup lemah dalam menangani desakan walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi ‘kuasa’ kepada beliau untuk membuat keputusan wajar.

Manakala Rina, kurang cerdas dalam menggubal dasar-dasar baru kementerian serta banyak menciplak hasil kerja menteri terdahulu.

Rombakan kabinet ini juga bakal memberi kejutan besar kerana Datuk Seri Mustapha Mohamed kembali ke Kabinet sebagai Menteri, menurut sumber.

“Jika lihat kepada kewibawaan TokPa (nama panggilan Mustapha), kemungkinan besar beliau akan diberikan portfolio berkaitan ekonomi berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Namun, memandangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini Datuk Darrell Leiking menampilkan prestasi yang baik, Tok Pa mungkin ke portfolio lain, mungkin Hal Ehwal Ekonomi,” kata sumber.

Kedudukan Azmin sebagai calon kegemaran untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke lapan, dilihat ‘tidak selesa’ selepas terpalit dengan skandal rakaman video semburit yang masih dalam siasatan polis. – 23 Ogos 2019

4 COMMENTS

  1. I don’t think it will work. The best thing to fix all the problems in the New Malaysia will be to “Bubar Parlimen dan Serah Kuasa Kepada Rakyat”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.