TINDAKAN Kementerian Belia dan Sukan yang mengubah nama Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge (MySC19), dibantah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam suatu kenyataannya, DBP menyatakan bahawa tindakan itu tidak selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta tersebut memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perlu digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan.

DBP juga menolak alasan penukaran itu demi prestij dan kegunaan peringkat antabangsa.

Hal ini kerana menurut DBP, jika KBS perlu mengadakan program di luar negara, Bahasa Melayu masih boleh digunakan bersama bahasa Inggeris.

“Sekiranya program dan aktiviti diadakan di peringkat antarabangsa, DBP mencadangkan agar nama program dibuat secara dwibahasa iaitu mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan,” katanya.

Pada masa sama, DBP menyarankan agar pihak kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Penukaran nama itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Steven Sim Chee Keong pada Rabu lalu.

Tindakan KBS itu turut mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Presidennya, Mohamad Saleeh Rahamad mendesak KBS kembali menggunakan nama Hari Sukan Negara (HSN).

Katanya, penggunaan nama MySC hanya menggambarkan betapa Malaysia semakin lemah dalam mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – 23 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.