TINDAKAN sesetengah pihak yang menghina Jalur Gemilang sejak akhir-akhir ini menunjukkan sikap tidak patriotik.

“Bagi mereka yang patriotik, isu berkaitan bendera negara ini bukan isu kecil. Tindakan sesetengah pihak tidak menghormatinya boleh membakar kemarahan dan boleh menimbulkan suasana yang tidak baik.”

“Polis mesti mengambil tindakan yang tegas berlandaskan undang-undang,” kata Zubir Embong, seorang peguam.

Mutakhir ini, timbul isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang semakin menjadi-jadi di seluruh negara seolah-olah ada satu gerakan yang sedang dijalankan.

“Sekarang ada berlaku di banyak tempat yang menggantung Jalur Gemilang terbalik.”

“Seolah-olah itu suatu perancangan. Bukan sesuatu tidak sengaja. Dikhuatiri ada agenda disebaliknya.”

“Jika pasang bendera terbalik, ada undang-undang berkaitan dengannya. Begitu juga jika tidak menghormati lagu Negaraku (tidak bangun),” kata Zubir.

Menurut Zubir, penghinaan Jalur Gemilang termasuklah menukar warnanya, seperti yang dilakukan oleh seorang ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew.

“Kesalahan yang berulang-ulang kemudiannya memintaa maaf kini mungkin dilihat sebagai tindakan provokasi. Keadaan ini akhirnya membawa kepada keadaan tidak tenteram.”

“Undang-undang yang ada sudah mencukupi untuk mendakwa kepada mana-mana pihak yang mencemar bendera,” kata Zubir.

Sebelumnya, Exco kerajaan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu kesalahan.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Perak itu menganggap isu berkenaan sebagai kecil dan terpencil, tetapi menjadi panas apabila disebarkan menerusi media sosial.

Namun, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mana-mana pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan ini boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan,” katanya. – NTHQiBORD 23 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.