TINDAKAN Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Perak) merangkap Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham membuat laporan polis kononnya ada pihak yang membawa amah yang mendakwa dirinya dirogol oleh exco kerajaan negeri Perak yang juga ADUN DAP, Paul Yong Choo Kiong merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Isu di sini adalah amah Indonesia tersebut mengadu dirogol dan memerlukan pembelaan.

Sepatutnya kita semua rakyat Malaysia memuji tindakan pihak yang membawa amah tersebut ke balai polis untuk membuat laporan polis berkenaan.

Apakah hanya kerana YB tersebut ADUN DAP maka ADUN tersebut ‘untouchable’?

Apakah kerana ADUN tersebut ADUN DAP maka dia bebas melakukan apa saja termasuk merogol?

Sebagai Ahli Parlimen dan Speaker DUN, lebih-lebih lagi sebagai pengamal undang-undang, sepatutnya Kooh Ham lah yang paling awal untuk membawa amah ini ke balai polis untuk membuat laporan.

Apakah tugas Koo Ham untuk melindungi pemangsa atau mangsa?

Laporan polis tidak bermakna YB Paul Yong telah bersalah. Pihak polis pasti akan menjalankan siasatan dengan rapi dan teliti. Pihak hospital pula akan menjalankan pemeriksaan rapi terhadap mangsa. Selepas itu barulah pihak polis menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan sama ada mendakwa atau tidak. Jika ada kes prima facie, barulah orang yang disyaki akan dituduh.

Saya difahamkan YB Paul Yong dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 376. Ini bermakna ada kes prima facie.

Tindakan Koo Ham dilihat seolah-olah cuba mengganggu proses undang-undang.

Rule of law semestinya mencakupi semua pihak dan tidak terkecuali pemimpin DAP.

Pihak DAP yang kononnya selama ini cuba menonjolkan sebagai juara kepada rule of law kini jelas merekalah yang tidak menghormati malah membelakangkan rule of law.

Saya harap pihak berkuasa sama ada pihak polis, pihak pendakwa malah pihak mahkamah tidak rasa tertekan dengan laporan polis oleh YB Koo Ham ini.

Keadilan mesti ditegakkan. Mangsa mesti dilindungi, bukannya pemangsa. – 23 Ogos 2019

ISMAIL SABRI YAAKOB
Naib Presiden UMNO (Ketua Pembangkang)

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.