SEMAKIN banyak insentif untuk rakyat Selangor disekat dan dinafikan hak walaupun sudah dijanjikan atau pernah diberi sebelum ini.

Antaranya termasuk pemberian air percuam kepada semua rakyat Selangor dihadkan kepada golongan B40 sahaja dan kelayakan terhad kepada mereka yang berdaftar dan mempunyai profil data dalam senarai e-Kasih.

Selain itu, pemberian wang tunai RM1,500 kepada semua anak kelahiran Selangor menerusi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) juga telah dikecilkan skopnya terhad kepada remaja berusia 18 tahun yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sahaja.

Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM500 juga telah ditarik balik dan digantikan dengan kursus asas perkahwinan yang sehingga kini masih tidak diketahui sejauh mana keberkesanannya.

Skim Mesra Usia Emas yang sebelum ini memperuntukkan wang khairat kematian sejumlah RM2,500 juga telah dikurangkan kepada baucar shopping RM100 setahun atau dengan bahasa mudahnya, nilai warga emas di mata kerajaan Negeri hanyalah 27 sen sehari.

Setiausaha Politik Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dalam satu kenyataan menggambarkan penjajaran semula pelbagai insentif bukanlah bersifat pemotongan sebaliknya disusun semula dengan tumpuan dialih kepada proses pemberdayaan rakyat.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, isu itu menjadikan rakyat negeri itu semakin tertekan dan merasa terperdaya selepas memberi kerajaan ini kepercayaan untuk mentadbir.

“Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam Belanjawan 2019 telah berjanji akan berbincang dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk meneruskan program ADAM50 yang sebelum ini dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, tetapi sehingga kini langsung tiada berita tentang perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

“Saya sarankan agar Borhan dapat menonton semula rakaman sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu iaitu ketika Menteri Besar memohon peruntukan tambahan disebabkan kegagalan membuat perancangan rapi tentang belanjawan negeri.

“Ramai rakan-rakan ADUN dari parti Borhan sendiri yang telah membangkitkan tentang perkara-perkara yang telah saya sebutkan.

“Apa yang saya kata adalah suatu bukti nyata yang sememangnya benar-benar berlaku. Borhan boleh terus bermain ‘silat lidah’ untuk mempertahankan Menteri Besar kesayangannya tetapi janganlah sehingga menafikan realiti sebenar yang berlaku,” ujarnya. – 23 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.