PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang mendakwa dirinya difitnah dalam isu penutupan kilang di Pasir Gudang, lapor Sinar Harian.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menafikan bahawa dirinya mengugut pihak berkuasa agar tidak menutup kilang-kilang yang terbabit dalam pencemaran udara di Pasir Gudang.

Apa yang berlaku ialah permintaan beliau tidak ada kena mengena dengan kilang yang mengakibatkan pencemaran udara.

“Saya maklum mengenai kejadian ini tetapi ia bukan apa sebenarnya berlaku. Memang saya ada didatangi individu atau pengusaha tetapi mereka ini tiada kaitan dengan kilang-kilang terbabit dengan pencemaran Pasir Gudang.

“Mereka adalah pengusaha kedai cuci kenderaan dan gerai-gerai yang diarahkan tutup oleh pihak berkuasa, kebanyakannya adalah orang tempatan dan juga orang Melayu sendiri.

“Sebagai wakil rakyat Bersatu, menjadi tanggungjawab saya untuk bantu mereka. Jadi, saya hubungi pihak berkuasa mengapa perkara ini (arahan tutup) boleh terjadi, tiada sedikit pun bersifat peribadi,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis serta menfailkan kes berkenaan di mahkamah dalam masa terdekat.

“Ini adalah satu fitnah, saya akan buat laporan dan bawa perkara ini ke mahkamah,” jelasnya.

Sebelum ini, Facebook Ops Johor telah mendedahkan satu laporan polis yang menyebut tentang ugutan Mazlan kepada pegawai kerajaan tersebut.

Dalam laporan itu, pelapor mendakwa Mazlan mahu pelaku membenarkan kilang kitar semula dan premis perniagaan lain yang disita pada 11 Julai 2019 di Kampung Pasir Puteh dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Dalam laporan itu juga mendakwa Mazlan mengatakan dirinya mempunyai kuasa seperti Menteri Besar.

Namun, laporan itu tidak mengaitkan Mazlan dengan mana-mana kilang yang terbabit dengan isu pencemaran udara di Pasir Gudang. – 23 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.