SEKARANG bulan Ogos. Bulan kemerdekaan. Bulan patriotik. Bulan mengenang jasa. Bulan meraikan pengorbanan.

Inilah bulan kukuhkan jati diri dan rasa sayang pada negara.

Inilah bulan untuk kita raikan kepelbagaian budaya kita.

Inilah bulan berterima kasih pada generasi terdahulu yang memberikan peluang kita hidup selesa pada hari ini.

Inilah bulan kita zahirkan rasa bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang Allah swt anugerahkan.

OGOS.. bulan ‘keramat’ bagi semua kita, seluruh warganegara Malaysia.

Cara paling mudah untuk kita raikan bulan ‘keramat’ ini ialah dengan beramai-ramai mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Itu saja.

Terus terang saya sangat rindukan kenangan dulu mengibarkan jalur gemilang ini di kereta. Dulu semua orang lakukannya.

Sebaik sahaja masuk bulan Ogos, hampir semua kereta di jalanan pasti akan memasang bendera Malaysia.

Ketika itu kita akan rasa pelik bila kereta kita saja yang tak memasangnya. Seolah-olah kita rasa seperti tak patriotik pula.

Itulah perasaannya bila di tempat letak kereta, di kiri kanan semua pasang bendera Malaysia.

Semua kaum memasangnya. Melayu, Cina, India, Sikh dan yang lain. Saya masih ingat sampaikan pelajar antarabangsa dibawah seliaan saya pun ikut pasang di kereta. Dia sendiri ingin merasakan kemeriahan sambutan merdeka. Katanya, sesuatu yang tidak ada di negaranya.

Saya masih ingat ada jiran saya berbangsa Cina bagi saya bendera percuma sebab syarikat mereka edarkan bendera percuma pada pelanggan masa promosi produk syarikat.

Tak selalu dapat percuma. Jadi kenalah beli sendiri. Saya masih ingat ketika itu, terpaksa ke bandar Kajang semata-mata untuk beli bendera kerana di Bandar Baru Bangi sudah kehabisan stok.

Begitulah sekali meriahnya bulan kemerdekaan ketika itu.

Hari ini, terasa semakin jauh dari perasaan itu. Walaupun hanya sepuluh hari lagi sambutan kemerdekaan akan menjelang, tidak kelihatan langsung rasa kegembiraan itu dijelmakan.

Sudah tidak ada bendera lagi di kenderaan. Sudah tidak ada lagi berlumba lumba orang memasang bendera Malaysia di rumah kediaman mereka.

Pejabat yang dulunya meriah dengan bendera, sekarang pun sudah tiada lagi. Saat meriah merdeka nampaknya sudah tiada.

OGOS nampaknya sudah tidak ‘keramat’ lagi. OGOS sudah tidak diraikan lagi seperti dulu. Perlahan lahan kita sudah hilang rasa terhadap bulan di mana peristiwa kemerdekaan ini berlaku.

Malaysia akan terus maju. Tetapi ingatlah bahawa kemajuan itu bermula dengan usaha generasi yang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Kisah kesusahan, keperitan dan pergorbanan mereka sepatutnya diraikan dan diinsafi oleh kita hari ini.

MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA

Terasa sekali jiwa merdeka semakin longlai, lemah dan lesu… – 23 Ogos 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UTM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.