PERBICARAAN kes SRC International Sdn Bhd semakin sampai ke penghujungnya tetapi lebih banyak persoalan yang timbul terhadap cara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Persoalan itu berbangkit berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain sebagai saksi terakhir kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sesi soal balas bersama pihak peguam bela, saksi ke-57 itu mengaku kepada Hakim Nazlan Mohd Ghazali bahawa duit derma yang dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu tidak penting untuk disiasat.

Rosli juga mengaku dia tidak menyiasat tentang perbelanjaan atau cek yang dikeluarkan dari akaun Najib dari tahun 2013 hingga 2014 sebagai sebahagian siasatan SPRM.

Sebaliknya, Rosli hanya menyiasat perbelanjaan Najib pada 2015 sahaja bagi mencari bukti bahawa wang yang kononnya hasil pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta menerusi SRC International telah habis digunakan.

Sebagai rekod, wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada 26 Disembre 2014 dan baki RM10 juta dimasukkan pada Februari 2015.

Walaupun Rosli menyiasat perbelanjaan Najib pada 2015, tetapi peliknya dia tetap menyiasat transaksi kad kredit Najib di butik barang kemas mewah Swiss, De Grisogono di Itali yang dibuat pada 8 Ogos 2014.

Ini menunjukkan Rosli tidak melakukan siasatan secara menyeluruh dalam kes itu dan boleh dikatakan dia menyiasat bukan untuk mencari kebenaran tetapi hanya mahu mewujudkan satu kes untuk didakwa.

Satu lagi persoalan yang timbul adalah kewajaran Rosli untuk menyiasat derma Arab Saudi yang diberikan kepada Najib.

Rosli sendiri mengaku bahawa Najib pernah memberitahunya bahawa sumber kewangan yang didakwa wang haram di dalam akaunnya itu adalah derma Arab Saudi.

Malah Najib sendiri menunjukkan bukti iaitu empat keping surat derma dari Arab Saudi kepada SPRM.

Namun Rosli mengaku dia tidak menyiasat langsung surat itu dan mendakwa duit derma itu tidak penting dalam siasatannya.

Berikut adalah transkrip sesi soal balas antara peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rosli.

Shafee: Seperti saya sebut sebelum ini , tentang pertemuannya (Najib) dengan Raja Arab Saudi, anda tahu dia ada sebut perkara ini (ketika beri keterangan kepada SPRM)?

Rosli: Ya.

Shafee: Anda ada buat siasatan lanjut?

Rosli: Yang Arif, saya tak buat siasatan lanjut kerana ia tiada kena-mengena dengan kes saya.

Shafee: Jadi itu jawapan anda – sumbangan ini termasuk dari Arab Saudi tak relevan dengan kes ini?

Rosli: Ya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan akan bersambung pada Selasa depan.

Setuju tapi tak buat

Satu lagi persoalan tentang cara siasatan Rosli terhadap pengesahan tandatangan bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin.

Pada 2015, Rosli pernah bertemu dengan Suboh di Abu Dhabi untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan tentang 16 dokumen transaksi melibatkan wang SRC International yang mempunyai tandatangannya.

Pada ketika itu, Suboh mengesahkan tandatangan pada kesemua dokumen itu adalah miliknya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lalu, Suboh kembali ke Malaysia dan bertemu SPRM di Hotel Pullman di Putrajaya sebanyak dua kali untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International.

Bagaimanapun Suboh mengubah keterangannya apabila berkata tandatangan itu bukan miliknya.

Namun dalam dua kali pertemuan pada bulan Ogos, Suboh sekali lagi mencetuskan kekeliruan apabila mendakwa tandatangan pada dokumen itu adalah miliknya.

Jadi dokumen transaksi itu menimbulkan keraguan sama ada benar ia ditandatangani oleh Suboh.

Jadi dalam sesi soal balas, peguam bela mencadangkan bahawa sepatutnya dokumen itu perlu dibawa ke Jabatan Kimia untuk mengesahkan keasliannya.

Rosli bersetuju dengan cadangan itu, tetapi dia mengakui tidak berbuat demikian. – NTHQiBord, 23 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.