FACEBOOK Ops Johor mendedahkan satu laporan polis yang memaparkan dakwaan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang mengugut seorang pentadbir kerajaan negeri.

Laporan bertarikh 22 Ogos 2019 itu menyatakan pengadu yang namanya dirahsiakan diarahkan oleh Mazlan supaya kilang kitar semula dan premis perniagaan lain yang disita pada 11 Julai 2019 di Kampung Pasir Puteh dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Pengadu itu berkata, Mazlan mendakwa bahawa, kuasa yang ada pada dirinya sebagai Pengerusi Bersatu Negeri Johor adalah sama besar dengan kuasa Menteri di kerajaan persekutuan.

Arahan Mazlan itu berlaku ketika pengadu sedang bermesyuarat di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Semua pihak maklum bahawa beberapa kilang di Pasir Gudang telah diarah ditutup berikutan kes pencemaran air dan udara sejak beberapa bulan yang lepas.

Arahan penutupan ini adalah daripada menteri yang berkaitan dan dari Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor.

Menteri tersebut telah juga mengarahkan untuk tidak melulus mana-mana permohonan kilang kimia baru di kawasan Pasir Gudang.

Berdasarkan laporan polis itu, Ops Johor mempersoalkan sama ada terdapat kilang-kilang yang mempunyai kaitan dengan Mazlan.

Pengendali Facebook itu juga membangkitkan persoalan siapakah dalang sebenar atau atas arahan siapa yang Mazlan berani untuk bertindak sedemikian.

“Adakah Mazlan selaku Pengerusi Bersatu Johor tidak mengutamakan kesihatan rakyat tetapi sebaliknya bertindak atas kepentingan peribadi atau kepentingan kilang-kilang tersebut?,” soal Ops Johor.

Timbul juga persoalan benarkah kuasa yang ada pada Pengerusi Bersatu sebuah negeri adalah sama atau lebih besar daripada Menteri sehingga boleh mengatasi arahan daripada Menteri dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar.

Perkara ini perlu disiasat kerana ia melibatkan soal kesejahteraan alam sekitar dan keselamatan rakyat terutamanya murid di sekolah-sekolah Pasir Gudang.

Dan pihak yang bersekongkol dengan konspirasi ini harus bertanggungjawab dan didedahkan kepada masyarakat. – 23 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.