KERAJAAN Pulau Pinang yang ditunjangi DAP membeli 15 kereta baru Toyota Camry 2.5V berjumlah RM2.77 juta untuk barisan EXCO.

Pegawai kewangan negeri, Sarul Bahiyah Abu berkata, kereta Camry yang dipasang di Jepun itu, setiap satunya berharga RM184,912.50.

Katanya, pembelian kereta itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 13 Mac lalu dan ia bagi menggantikan kereta rasmi model sama yang dibeli pada 2013.

“Kereta itu digantikan kerana kos penyelenggaraan kereta baru lebih rendah dan ia dilengkapi ciri keselamatan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sarul berkata, 10 Camry lama itu akan dijual menerusi tender tidak lama lagi, manakala lima lagi kereta terbabit akan terus digunakan kerajaan negeri.

Camry model lama yang dipasang di dalam negara dibeli pada harga RM1.7 juta, lebih murah berbanding pembelian kini yang mencecah RM3 juta.

Kereta rasmi tersebut digunakan Speaker Dewan Undangan Negeri, Timbalan Speaker, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang dan 10 EXCO Kerajaan Negeri.

Manakala untuk Ketua Menteri, Sahul berkata, Mercedes-Benz Kelas-S keluaran 2012 yang digunakan Ketua Menteri juga bakal digantikan.

Katanya, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas pembekal untuk menentukan model kereta yang sesuai untuk Ketua Menteri.

Difahamkan, Mercedes-Benz yang digunakan Ketua Menteri DAP Pulau Pinang dibeli pada akhir Disember 2013 dengan harga RM298,263.75. – 28 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.