PEGUAM, Ramkarpal Singh yang mewakili Paul Yong membuat permohonan kepada Peguam Negara (AG) supaya menggugurkan dakwaan terhadap exco Perak itu.

Ramkarpal berkata, dakwaan dan laporan polis yang dibuat oleh Speaker DUN Perak, Ngek Koo Ham semalam merupakan perkara yang serius serta harus disiasat.

“Ia perlu disiasat secara mendalam dan dakwaan itu baru dibuat semalam.

“Mustahil untuk peguam negara menyiasat dakwaan itu sebelum pendakwaan terhadap Yong hari ini.

“Sebab itu pada mulanya kita menggesa timbalan pendakwa raya untuk secara baik hati tidak meneruskan pendakwaan hari ini, dengan mengambil kira dakwaan yang dibuat semalam,” katanya.

Semalam, Ngeh membuat laporan polis mendakwa individu yang membawa wanita itu untuk membuat laporan polis sebelum ini telah menerima wang sebanyak RM100,000 ribu dan telah diugut untuk tidak membocorkan perkara itu.

Ngeh yang juga merupakan penasihat DAP (Perak) mendesak polis menyiasat kemungkinan wujud agenda tersembunyi yang dilakukan terhadap Yong.

Namun, pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menerima permohonan Yong agar dakwaan terhadapnya ditangguhkan atas sebab telah diarahkan untuk meneruskannya.

Ramkarpal berkata, pihaknya tiada masalah untuk mempertahankan anak guam mereka kerana yakin dakwaan tersebut tidak berasas.

“Jelas bahawa dakwaan berkenaan pembayaran RM100,000 tidak disiasat langsung.

“Kami harap ia disiasat secara terperinci.

“Jika didapati ia ada asas, pendakwaan terhadap Yong perlu digugurkan,” ujarnya. – 23 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.