MEDIA-media prokerajaan kebanyakannya hanya mensensasikan tentang jumlah perbelanjaan Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM3.2 juta di Itali pada 2014.

Perbelanjaan itu melibatkan pembelian barang kemas di De Grisogono yang bertujuan dijadikan hadiah kepada seorang isteri bekas pemimpin Qatar.

Tetapi tiada satu pun laporan menaikkan cerita tentang bagaimana seorang saksi yang terlibat dalam siasatan kes SRC International Sdn Bhd, tidak pernah melihat bukti tentang surat penghargaan dari Qatar itu.

Saksi itu merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain yang terlibat dalam siasatan kes penyelewengan dana melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Rosli mengaku bahawa dia dimaklumkan oleh Najib bahawa hadiah bernilai RM3.2 juta itu diberikan kepada pemimpin negara luar kerana Malaysia mempunyai hubungan rapat.

Malah dia juga mengakui bahawa Najib ada memberitahunya bahawa hadiah tersebut untuk diberikan kepada isteri bekas perdana menteri Qatar pada masa itu, Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie.

Namun peliknya, Rosli mendakwa tidak pernah melihat surat itu walaupun Najib menyatakan beliau menerima surat penghargaaan dari Noor Abdulaziz.

Disebabkan Rosli tidak pernah lihat surat itu, peguam bela Najib menunjukkan bukti itu kepada mahkamah iaitu salinan surat penghargaan daripada Noor Abdulaziz kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Surat bertarikh 14 Ogos 2014 menyatakan rasa penghargaan Noor Abdulaziz atas pemberian hadiah kepadanya iaitu barangan kemas yang dibeli di De Grisogono di Itali.

Tidak lebih 2%

Mengikut pengiraan penggunaan wang yang dipercayai derma Arab Saudi dalam tiga akaun Najib sejak 2013 hingga 2015, perbelanjaan untuk membeli hadiah itu hanya 1.5% sahaja.

Peratusan itu turut melibatkan pembelian beg tangan di butik Chanel di Honululu, Hawaii pada 22 Disember 2014.

Secara keseluruhnya, dalam tempoh dua tahun, Najib menggunakan wang sebanyak RM216,078,071.78 bagi kegunaan pelbagai program kebajikan dan politik.

Berdasarkan pecahan daripada jumlah keseluruhan penggunaan wang dipercayai derma Arab itu, Najib hanya menggunakan kurang 2% untuk kepentingan dirinya.

Antara kegunaan lain untuk dirinya adalah bayaran kepada Syadillah Enterprise bagi tujuan membaiki tangki air di rumahnya di Pekan manakala satu lagi adalah perbelanjaan membaiki tangki air di rumahnya menerusi syarikat MOZ Enterprise.

Kedua-dua pembayaran itu dibuat melalui cek dengan jumlah RM233,800.

Manakala selebihnya dibahagikan kepada beberapa perbelanjaan lain termasuk perbelanjaan politik untuk UMNO berjumlah RM97,930,000 atau 45% daripada jumlah keseluruhan duit derma yang digunakan.

Sebanyak RM84,793,260 digunakan bagi tujuan program-program rakyat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan peratusan kedua tertinggi iaitu 39.3%.

Selebihnya, RM29,629,694 atau 13.7% digunakan untuk tujuan progam kebajikan termasuk bantuan pendidikan kepada balu bekas setiausaha politiknya sendiri.

Jadi Najib hanya menggunakan kurang 2% daripada wang dipercayai derma Arab Saudi itu dalam tempoh dua tahun dan tidak menggunakan hanya untuk kepentingan peribadi kerana 98% lagi wang itu digunakan untuk manfaat yang lebih besar. – NTHQiBord, 23 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.