KERAJAAN tidak akan menghalang pelajar, Nur Fitri Azmeer Nordin, 27 untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Fitri sebelum ini pernah disabitkan kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London pada 2015.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagaimanapun pihaknya akan terus memantau perlakuan pelajar tersebut bagi mengelak keresahan dalam kalangan masyarakat.

Kerajaan juga kata beliau perlu bersikap adil kepada semua pihak berikutan Nur Fitri sudah pun menjalani hukumannya sebelum ini.

“Memang kita adakan pendaftaran untuk mereka yang telah didapati bersalah namun kita akan lebih komprehensif sebab kita sekarang ini ada kutipan (rekod) hanya dari 2017 dan Fitri adalah (kes) 2015 dan dia di luar negara,” katanya.

Pada Mei 2015, Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown, London.

Dia mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia juga didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘Kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila Fitri yang didapati bersalah sebagai pedofilia diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di UKM. – 24 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.