SAYA ada berkongsi pandangan dalam Berita Harian tentang isu pengangguran graduan.

Ini isu yang ‘real’. Bukan persepsi. Tak kerja, perut lapar adalah real. Kena diuruskan. Tapi apa penyelesaiannya setakat ini?

Sehingga akhir 2018, terdapat lebih setengah juta (516,000) rakyat Malaysia yang direkodkan sedang menganggur dan tiada pekerjaan. Tentulah angka sebenar jauh lebih besar dari itu.

Lebih malang, 204,000 atau 40% yang menganggur ini adalah di kalangan graduan universiti. Ini yang direkodkan.

Yang tidak direkodkan pastilah lebih ramai dari ini. Angka ini juga semakin membesar setiap tahun.

Apa nak jadi? Anak-anak kita belajar bersungguh sungguh masuk universiti, mak ayah pula berhutang sana sini untuk anak belajar, akhirnya bila habis belajar, anak-anak tak dapat kerja. Dapat pula gelaran ‘graduan menganggur’.

Bila tak dapat kerja, mulalah pasang angan-angan nak kerja sendiri. Tapi bila nak mula berniaga, modal pula tak ada. Nak mula berniaga tapi pengalaman pun tak ada.. Nak mula berniaga tapi sokongan pun tak ada.

Kalau masih nak berniaga juga kenalah mula dari kosong. Kalau begitu, lebih baik awal-awal tak payah masuk universiti, kan lebih baik lepas sekolah terus belajar berniaga sahaja. Kerja dengan peniaga lain. Gaji upah hari pun tak kisahlah.

Empat lima tahun kemudian boleh buka perniagaan sendiri. Masuk universiti pun empat lima tahun juga.

Memang ramai juga graduan menganggur yang cuba-cuba berniaga, beberapa bulan kemudian lingkup. Tak menjadi. Duit buat modal semua hangus sahaja. Lagi miskin jadinya dari sebelum mula berniaga.

Sebab itu, saya selalu sebut. Salah satu punca utama pengangguran ialah rekabentuk kurikulum di sekolah kita masih lagi sekolah untuk generasi 1980an.

Rekabentuk ini sudah ketinggalan zaman. Sudah tidak sesuai lagi untuk generasi sekarang dan akan datang.

Pentadbir pendidikan negara kita masih takut takut nak buat perubahan. Setakat buat perubahan aksesori sahajalah.

Tukar warna kasut itu aksesori sahaja. Tidak menyelesaikan masalah yang real.

Slogan “gembira, kasih sayang dan saling menghormati” itu bunyinya memang sedap didengar tapi tak ada hasil yang boleh meningkatkan keberhasilan pendidikan.

Saya nak tanya, dengan slogan “gembira, kasih sayang dan saling menghormati” itu apa hasilnya yang kita dapat pegang?

Bolehkah anak kita menguasai tiga empat bahasa utama dunia? Bolehkah anak kita faham sejarah dunia dan Malaysia? Bolehkah anak kita mahir berfikir dan membuat keputusan dengan baik?

Setahu saya tak pernah dikaitkan pun. Kita bukan mahu slogan, kita mahu kayu ukur yang boleh kita para ibubapa gunakan untuk tahu samada sekolah anak kita dah capai atau belum matlamat pendidikan.

Kalau kayu ukurnya, sebelum tamat sekolah rendah semua anak anak mahir peringkat asas tiga bahasa iaitu BM, BI dan Mandarin( atau arab) itu baru pendidikan yang berkualiti. Itulah yang ibubapa mahu.

Saya bagi contoh lain, dan ini saya sebut beberapa kali dalam mesyuarat berkaitan pendidikan dan pengangguran.

Insyaallah, saya akan sebut lagi dalam mesyuarat Jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Governan Kerajaan yang kaji pasal pengangguran graduan di Parlimen nanti.

Punca pengangguran di negara ini bila kita masih ada aliran sastera sebagai aliran persekolahan.

Sepatutnya sudah tiada lagi aliran sastera. Aliran sastera adalah pemikiran pendidikan tahun 1960an.

Hari ini, ilmu bahasa dan sastera patut dipelajari oleh semua pelajar. Bukan hanya pelajar di aliran sastera.

Apakah ahli sains tak minat nak hargai bahasa yang indah? Adakah doktor perubatan tak tahu menghargai sajak atau puisi? Adakah peguam tak tahu menilai indahnya pantun?

Sepatutnya apa juga pekerjaan, ilmu sastera adalah sesuatu yang menjadi pelengkap kepada kehidupan supaya seimbang.

Sebab itu, sistem pendidikan hari ini patutnya wujudkan dua aliran sahaja, aliran iktisas (gabungkan sains, ekonomi) dan aliran TVET. Sastera pula diajar pada semua pelajar.

Apa jadi bila aliran sastera masih wujud? Semua pelajar yang kononnya ‘bukan sains’ dikumpulkan bersama.

Selepas tamat sekolah, mereka masuk ke fakulti sastera dan sains sosial di universiti. Kalau dicampurkan pelajar sastera dan sains sosial di semua fakulti universiti awam, angkanya menjadi belasan ribu hari ini.

Era 70an dulu, majoriti mereka ini akan menjadi pegawai tadbir dan bekerja dengan kerajaan. Hari ini?

Sebab itu, sistem aliran persekolahan kena segera dirombak semula. Menteri KPM kena berani membuat perubahan yang beaar sebagaimana beraninya beliau mahu melaksanakan tulisan Jawi di sekolah Cina walaupun tidak menjadi.

Anda rasa bagaimana? – 24 Ogos 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.