EXCO DAP, Paul Yong Choo Kiong akur dan bercuti daripada tugasnya selepas diheret ke mahkamah berhubug kes rogol seorang amah Indonesia.

“Setelah mempertimbangkannya, saya mengambil keputusan untuk bercuti bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada perbicaraan agar dapat membersihkan kembali nama sekaligus membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Jumaat lalu, Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya Julai lalu.

Ekoran daripada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan telah menasihatkan agar Paul Yong bercuti sehingga proses perbicaraan selesai.

Namun, Paul Yong enggan bercuti dan mahu terus menjalankan tugasnya sebagai EXCO.

Tetapi pada hari yang sama, kemudiannya Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, nasib Paul Yong akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Menurut Loke kes tersebut sudah dibawa ke mahkamah dan akan dijalankan mengikut undang-undang.

“Parti menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili kes tersebut,” kata Loke.

Setiausaha Agung DAP Pusat, Lim Guan Eng juga memaklumkan parti itu akan mengeluarkan suatu kenyataan rasmi berkenaan kes rogol tersebut.

Guan Eng menyatakan bahawa pemimpin pusat sudah menyampaikan pandangan mereka kepada DAP negeri.

“Pemimpin kebangsaan telah sampaikan pandangan kepada pemimpin negeri Perak dan saya percaya satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Dipercayai, keputusan Paul Yong untuk bercuti adalah arahan daripada DAP Pusat. – 25 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.