SPEAKER Perak, Datuk Ngeh Koo Ham digesa meletakkan jawatan kerana tindakannya membela rakan separtinya dari DAP, Paul Yong yang diheret ke mahkamah ekoran kes rogol pembantu rumah.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak kerana tindakan Koo Ham boleh menjejaskan kredibiliti sebagai Speaker DUN Perak.

Menurut ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin, sebagai Speaker DUN, Koo Ham seharusnya memperlihatkan keadilan dengan tidak memihak kepada mana-mana ADUN sama ada di dalam mahupun di luar dewan.

“Kita nampak dengan ketara bahawa Speaker DUN menjadi orang paling hadapan mempertahankan Paul Yong. Sepatutnya beliau perlu menjaga kredibiliti sebagai Speaker yang tidak memihak kepada sesiapa.”

“Jika beliau mahu terus membela Paul Yong, eloklah letak jawatan dan tumpu kepada kerja-kerja politik. Kita mahu individu yang benar-benar ada kredibiliti menjadi speaker,” kata Akmal yang juga Ketua Pemuda PAS Perak.

ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib juga berpandangan tindakan Koo Ham tidak wajar merendahkan martabatnya dengan membuat laporan polis berkaitan kes rogol melibatkan Paul Yong itu.

Menurut Khusairi, Koo Ham dan pimpinan DAP yang lain perlu memberi kepercayaan kepada mahkamah untuk membuat pengadilan terhadap Paul Yong yang juga ADUN Tronoh.

“Pada saya, Speaker wajar meletakkan jawatannya kerana telah menghina kemuliaan DUN dan memalukan anggota DUN bukan sahaja dari pihak kerajaan tetapi juga dari pihak pembangkang,” kata Khusairi.

Pada 22 Ogos lalu, Koo Ham membuat laporan polis dan mendakwa seorang saksi yang terlibat dalam kes Paul Yong itu telah menerima sejumlah wang RM100,000.

Koo Ham mendesak polis menyiasat laporan itu. Kemudiannya peguam Paul Yong mahu Peguam Negara, Tommy Thomas menggugurkan kes rogol ADUN Tronoh itu. – 25 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.