PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan Kalimantan Timur sebagai ibu negara yang baharu bagi menggantikan Jakarta.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki sejak beberapa bulan lalu apabila Jokowi memberitahu tentang penukaran lokasi ibu negara Indonesia.

Dalam pengumuman itu, Jokowi memberikan lima sebab wilayah itu dipilih sebagai ibu negara yang baharu.

Katanya, Kalimantan Timur mempunyai risiko yang sangat rendah untuk ditimpa bencana seperti banjir, gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan gunung berapi.

Selain itu, kedudukan wilayah itu juga amat strategik kerana terletak di tengah-tengah Indonesia.

Malah Kalimantan Timur dipilih kerana terletak berdekatan dengan wilayah yang sudah berkembang maju seperti Balikpapan dan Samarinda.

Balikpapan merupakan bandar pelabuhan yang mempunyai loji penapis minyak manakala Samarinda merupakan ibu kota wilayah Kalimantan Timur.

Faktor seterusnya adalah kerana kedua-dua bandar itu lengkap dengan kemudahan infrastruktur yang tersedia termasuk lapangan terbang antarabangsa yang terjangkau lebih kurang dua jam dari Jakarta.

Sebagai ibu negara yang baharu, kawasan seluas 180,000 hektar disediakan bagi membangunkan daerah pentadbiran baru dengan misi membawa pembangunan industri di wilayah itu.

Perpindahan pertama dijangka bermula pada 2024 iaitu tahun yang sama Jokowi dijadual menamatkan mandat penggal keduanya sebagai presiden. – AGENSI, 26 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.