DATUK Seri Gopal Sri Ram belum pasti mengetuai pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Datuk Seri Najib Razak menggugurkan bekas hakim itu.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat yang mendapati terdapat merit dalam rayuan yang difailkan Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hasnah dalam penghakimannya, berkata, sifat dan bidang kuasa semakan kehakiman adalah berbeza serta berasingan.

“Isu berhubung pertindihan permohonan tidak berbangkit di sini. Terdapat isu yang perlu dibincangkan dan ia tidak remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya menurut sebuah portal.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi, esok.

Pada 7 Ogos lalu, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes perbicaraan 1MDB yang dihadapi Najib.

Najib dan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Februari tahun ini selepas permohonan mereka ditolak untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Muhammad Shafee mewakili Najib selain mewakili dirinya sendiri dalam prosiding kes itu hari ini.

Najib dan Muhammad Shafee memfailkan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lalu dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram selaku responden.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan mengatakan surat pelantikannya tidak sah.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon suatu perintah untuk melarang beliau (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – 26 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.