Politik lencong…

4

ANDA kena tahu dalam politik ada satu istilah yang dipanggil politik lencong atau ‘politics of diversion’.

Biasanya semua parti politik akan guna politik lencong ni.

Tak kiralah samada dari parti kerajaan atau parti pembangkang. Bila ada peluang mereka akan gunakan sebaiknya.

Rakyat kena bijak untuk tidak ‘termakan’ dengan mainan politik lencong ini. Kalau termakan juga maka tersenyum besarlah parti politik berkenaan.

Sesebuah parti politik biasanya akan menggunakan politik lencong supaya pengundi akan lebih ‘sibuk’ dan fokus kepada perkara yang kurang memberikan kesan buruk pada parti politik berkenaan.

Mereka akan menyimpangkan perhatian pengundi kepada sesuatu yang lebih emosional dan kontroversi tetapi bukan kepada isu yang ‘real’.

Politik lencong banyak bermain dengan perasaan dan persepsi semata-mata.Ada kalanya politik lencong menggunakan isu yang tidak perlu diselesaikan pun.

Ada isu setelah rakyat penat ‘riuh rendah’, akhirnya semua diam dan senyap begitu sahaja.

Jom kita fahami bagaimana politik lencong digunakan sekarang.

Kos sarahidup adalah isu yang ‘real’,
Harga rumah mahal isu yang ‘real’,
Kos pendidikan mahal isu yang ‘real’,
Pengangguran meningkat isu yang ‘real’,
Pelaburan semakin jatuh isu yang ‘real’,
Nilai ringgit jatuh isu yang ‘real’,
Kesesakan jalan raya isu yang ‘real’,
Harga minyak mahal isu yang ‘real’,
Kos kesihatan meningkat isu yang ‘real’,
Pembuangan pekerja isu yang ‘real’,
Kemiskinan adalah isu yang ‘real’,
Korupsi dan Rasuah isu yang ‘real’,
Peningkatan jenayah isu yang ‘real’.

Banyak lagi isu yang ‘real’. Isu ini perlu diselesaikan sebab ia bukan persepsi. Perut lapar bukan persepsi. Kena buang kerja bukan persepsi.

Perompak pecah rumah kita bukan persepsi. Itu semua memang ‘real’. Kena diselesaikan.

Kalau tak diselesaikan isu yang ‘real’ rakyat akan semakin terhimpit dan kualiti hidup mereka akan menurun. Rakyat akan jadi susah dan menderita.

Tetapi isu yang ‘real’ sukar nak diselesaikan. Nak selesaikan kena ada duit. Kena ada kepakaran. Perlukan masa..

Bila tak diselesaikan isu yang ‘real’.maka rakyat akan mula marah. Rakyat mula rasa tidak puashati. Rakyat mula benci pada penguasa. Rakyat mula rasa penguasa lemah dan tidak boleh diharapkan.

Sebab itu politik lencong perlu ada untuk bantu. Apa contohnya?

Tulisan Jawi… politik lencong,
Marah Dong Zong… politik lencong,
Bendera jadi hitam.. politik lencong,
Hina tentera.. politik lencong,
Komunis pejuang.. politik lencong,
Halau Zakir Naik.. politik lencong,
Melayu pendatang.. politik lencong,
Warkah Kekanda.. politik lencong.

Semakin banyak dan berterusan politik lencong maka semakin lupalah para pengundi kepada isu yang ‘real’.

Politik lencong mampu timbulkan kemarahan, kegembiraan atau simpati. Politik lencong akan semarakkan rasa emosi pada hati pengundi.

Kerana marah mereka terlupa sekejap isu yang ‘real’. Bila terlalu gembira mereka juga boleh lupa sekejap isu yang real.

Baru-baru ini orang Melayu ‘melompat gembira’ bila Tun M kata Dong Zong rasis. Gembira sungguh orang Melayu. Terlupa benda lain sekejap.

Bukan Melayu sokong PH sahaja gembira, Melayu UMNO dan MELAYU Pas pun gembira bukan main.

Kalau kita belajar sejarah, Dong Zong sejak ditubuhkan tahun 1954 sudah dilabelkan sebagai satu gerakan rasis oleh kerajaan. Bukan benda baru.

Tahun 1961 lagi pengasasnya telah dilucutkan kerakyatan kerana menentang kerajaan.

Sejak tahun 1975 lagi Tun M dah ‘berperang’ dengan Dong Zong bila kerajaan tidak mengiktiraf UEC. Label ‘Dong Zong rasis’ bukan benda baru.

Tapi sebab ini melibatkan permainan emosi, isu ‘Dong Zong rasis’ boleh dikitarsemula banyak kali. Begitulah politik lencong berperanan membantu parti politik.

Bila sudah terlalu gembira atau terlalu marah, Pengundi akan lupa sekejap bila ke kedai harga barang semakin mahal.

Mereka lupa sekejap harga ikan dan sayur semakin meningkat. Mereka terlupa sekejap harga rumah melambung tinggi. Mereka lupa sekejap peluang kerja semakin kurang.

Emosi senang memuncak akibat politik lencong, dan bila amarah meluap biasanya dengan senang pula menutup perhatian kepada perkara yang ‘real’. Betulkan?

Sepatutnya dituntut harga barang turun.
Sepatutnya dituntut rumah mampu milik lebih banyak.
Sepatutnya dituntut tambah peluang pekerjaan.

Banyak lagi yang sepatutnya di tuntut. Tapi emosi marah sebab politik lencong punya pasal, semua yang ‘real’ mereka sudah tidak nampak lagi.

Cuba teka, siapa yang untung?

Anda akan lihat nanti lepas satu, akan ada lagi satu politik lencong menjelma dalam masyarakat. Akan berterusan.

Anda nampak sekarang apa itu politik lencong?

Jadi berpada-padalah… – 26 Ogos 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UTM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

4 COMMENTS

  1. Exactly this was what I had in my mind. I shared the same view with someone before I came across this beautiful & well-written article. Hope this piece of writing reaches others who don’t come to NTH.

  2. Apa pulak politik lencong ni..politik kalau sekular mmg lah lencong tak bawa kemana hanya keuntungan dan kepentingan sja.cerita buat penat tulis je.

  3. Setuju, hampir semua pemimpin politik dimalaysia menggunakan politik lencong ini.
    Sehinggakan bertimbun-timbun penyelewengan yg dilakukan oleh pemimpin umno bn masih dianggap sesuatu yg mulia & bersih.
    Dan ini juga berarti pemimpin umno bn bijak me”lencong”kan pemikiran pengikut mereka.
    Arti nya boleh di “perbodohkan”…walaupun ada yg bergelar Phd.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.