PENDAKWAH bebas, Dr Zakir Naik dalam notis guamannya mendakwa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy menggunakan namanya untuk meningkatkan populariti dalam DAP.

Notis guaman bertarikh 23 Ogos itu merujuk kenyataan Adun Perai berkenaan dalam temu bual dengan sebuah saluran TV India.

“Kami diarahkan untuk menegaskan bahawa kenyataan memfitnah jelas digerakkan oleh niat jahat, kebencian, iri hati dan / atau bermotivasi untuk menyokong populariti kamu yang merosot dalam parti politik kamu selepas diketepikan dalam pemilihan parti.

“Jelas sekali, kami diarahkan untuk menyatakan bahawa perkataan fitnah itu membawa konotasi yang kuat bahawa kamu telah sengaja menyalahgunakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang,” kata notis daripada firma guaman Akberdin & Co.

“Kami diarahkan untuk menyatakan bahawa dengan menyiarkan kenyataan fitnah itu, kamu telah jelas mengaitkan anak guam kami sebagai individu berwatak jahat dan telah menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara, keamanan dan keharmonian di negara ini.” kata notis itu.

Menurut notis berkenaan, tindakan-tindakan yang terhasil daripada artikel fitnah tersebut adalah tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap Zakir.

Ia juga menambah Ramasamy telah “memutarbelit dan memanipulasi” niat sebenar Zakir berhubung ucapannya di Kelantan yang boleh diterjemahkan sebagai dendam peribadi.

“Kami seterusnya diarahkan oleh anak guam kami bahawa dengan menyiarkan kenyataan fitnah berkenaan, kamu telah menghasut dan / atau menyalakan dan / atau menimbulkan sensitiviti kaum, agama atau etnik di kalangan rakyat Malaysia.

“Di atas premis itu, kami diarahkan oleh anak guam kami bahawa kenyataan fitnah tersebut yang telah dibuat atas kapasiti kamu sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang telah mendorong dan / atau didorong golongan tertentu untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 24 Ogos di Brickfields di bawah alasan ‘perhimpunan aman’ untuk meraih sokongan bagi menyebabkan perbalahan kaum dan / atau keharmonian antara kaum,” katanya.

Oleh itu Zakir mahu Ramasamy, menerbitkan permohonan maaf di akaun media sosialnya dalam masa 48 jam selepas menerima notis berkenaan.

Notis itu juga menuntut Ramasamy, dalam tempoh yang ditetapkan, membuat bayaran sejumlah wang yang munasabah sebagai penyelesaian kepada Zakir atas kerugian, rasa malu, penghinaan dan kehinaan yang disebabkan oleh kenyataan itu.

“Jika tidak, kami diarahkan secara tegas oleh anak guam kami untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kamu, termasuk pelepasan injunksi, ganti rugi dan / atau apa-apa relief lain dengan kos dan kepentingan tanpa sebarang rujukan lanjut kepada kamu,” kata firma undang-undang berkenaan.

Sebelum ini, Zakir juga menghantar notis guaman kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta Dennis J Ignatius.

Pendakwah bebas itu juga telah membuat laporan polis terhadap Ramasamy dan empat yang lain.

Dalam reaksi balasnya, Ramasamy berkata kepada Zakir Naik, jumpa anda di mahkamah. – 26 Ogos 2019

2 COMMENTS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.