PRIHATIN dengan kes-kes yang melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara, Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia mencadangkan untuk mengadakan sesi dialog bersama Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Presidennya, Datuk Mohd Ali Baharom hadir ke Bukit Aman hari ini untuk menyerahkan surat cadangan mengadakan program Dialog Isu-Isu Semasa bersama Abdul Hamid kepada wakil KPN.

Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, dalam surat itu, Abdul Hamid dimaklumkan bahawa tiada ahli politik akan terlibat untuk hadir pada sesi berdialog bersama KPN.

“Ini adalah cara kami untuk menyelesaikan masalah yang tertangguh dalam media sosial. Kami juga mahu menaikkan imej PDRM sebenarnya.

“Kita tidak mahu nasi jadi bubur, barulah pihak berkuasa IGP yang dipertanggungjawabkan jaga keamanan, (sedangkan) Malaysia sudah menjadi huru-hara,” katanya.

Ali berkata, cadangan itu dibuat susulan beberapa isu termaasuk penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, PDRM masih belum mengambil tindakan atau membuat tangkapan selepas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyerahkan isu itu kepada polis.

“Apa perasaan mereka (tentera) dihina begitu zalim. Saya harap KPN dapat hadir (ke sesi dialog) dan kami berterima kasih kepada beliau jika dapat turun bertemu dengan NGO bagi mengupas isu semasa,” katanya.

Ali berkata, mengikut prosedur polis, pihaknya perlu menunggu selama 14 hari untuk menerima jawapan daripada Abdul Hamid sama ada beliau akan menghadiri sesi dialog itu.

“Jika Datuk Seri (Abdul Hamid) dapat hadir, tetapkan tarikh (sesi dialog).

“Jika gagal, saya akan datang sekali lagi untuk menjemputnya,” katanya. – NTHQiBord, 27 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.