PERPADUAN Ummah bukan hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja, tetapi ada beberapa parti lain dalam blok Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Aliff Tafid.

Ketua Bahagian Parti IKATAN Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, rakyat sering mengaitkan UMNO dan PAS dalam Perpaduan Ummah sedangkan ada parti lain bersama dalam kerjasama politik itu.

Jelasnya, agenda perpaduan itu melibatkan kerjasama dua gabungan iaitu Gagasan Sejahtera yang disertai oleh PAS, IKATAN dan BERJASA manakala di pihak BN pula ada UMNO, MCA dan MIC.

“Berdasarkan mesyuarat bahagian semalam, saya cuma tegur pemimpin atasan bahawa rakyat hanya nampak UMNO dan PAS sahaja dalam Perpaduan Ummah ini.

“Jadi kalau nak kata Perpaduan Ummah, jangan lagi kaitkan dengan UMNO dan PAS sahaja, tetapi gunakan Gagasan Sejahtera dan BN.

“Jadi ia akan lebih menyeluruh melibatkan parti-parti komponen seperti MCA, MIC, IKATAN dan BERJASA,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Beliau mengulas pengumuman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa
Parti IKATAN dan BERJASA bersetuju untuk menyertai kerjasama politik yang digerakkan sebelum ini oleh PAS dan UMNO.

IKATAN dan BERSAJA akan menyertai kerjasama politik Melayu itu melalui Gagasan Sejahtera.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Aliff berkata, peringkat bahagian menerima kerjasama itu berdasarkan matlamat parti dalam usaha mengembalikan semula semangat Bangsa Malaysia dari terus.

Ini katanya, sifat jati perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk pada hari ini hampir musnah disebabkan pihak yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Perpaduan Negara dilihat tidak mengambil endah mengenai hal perpaduan tersebut.

“IKATAN Bandar Tun Razak akan bersedia memberi kerjasama kepada PAS, BERJASA dan UMNO demi mengukuhkan lagi tiang Perpaduan Ummah di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

“Selain dari itu, kita akan terus berusaha menarik golongan muda dan golongan atas pagar untuk memastikan perjuangan IKATAN dan Perpaduan Ummah terus tercapai,” katanya. – NTHQiBord, 27 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.