PEMIMPIN parti politik diingatkan agar tidak merendahkan kedudukan Bangsa Melayu sebagai bangsa teras negara ini, kata pakar akademik.

Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, mereka (ahli politik) perlu sedar bahawa Melayu adalah bangsa teras negara ini.

Jelasnya, perkara berkenaan disokong oleh peruntukan Perlembagaan yang sudah dicanang luas sejak dahulu lagi.

“Jangan cuba merendah-rendahkan bangsa Melayu dan jangan segan silu mengaku bahawa Melayu adalah bangsa teras di negara ini.

“Kalau Melayu sendiri pun sudah malu mengaku Melayu sebagai bahasa teras, itulah bangsa Melayu yang layu,” katanya menurut laporan media.

Beliau juga membidas kenyataan Menteri DAP, M Kulasegaran yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah golongan pendatang di Malaysia.

Tahun lalu, Kulasegaran mendakwa Melayu adalah golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal adalah penganut agama Hindu.

Beliau mendakwa, masyarakat Hindu telah mula menjejakkan kaki di negara ini sejak 2,500 tahun lalu, kononnya berdasarkan bukti yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah.

Menempelak dakwaan itu, Dr Awang berkata, Melayu adalah bangsa yang memiliki tanah Melayu, sekali gus menyangkal dakwaan Kulasegaran itu.

“Beliau (Kulasegaran) tidak pernah tahu sejarah. Tiada fakta sejarah menunjukkan bahawa orang India adalah penduduk asal negara ini.

“Sama juga Islam yang datang kemudian menjadi agama sebagai panduan hidup orang Melayu, ia logik yang sangat mudah yang perlu dipelajari oleh Kulasegaran yang juga sepatutnya masuk sekolah sekali lagi,” katanya.

Malah katanya, dalam satu catatan seorang tokoh menegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa perubahan dalam Tanah Melayu dan ia perlu diperakui kerana ditulis oleh tokoh terkenal.

“Perkara itu menguatkan lagi bukti bahawa Islamlah yang telah membentuk makna Melayu serta memberi kesedaran pada jiwa Melayu apabila ia dinyatakan sebagai bangsa penyatuan umat seluruh alam Melayu yang dianggarkan mempunyai 500 etnik, selain disatukan oleh akidah Islam yang berpaksikan tauhid dan bangsa Melayu,” katanya.

“Jadi perkara asas ini perlu dibuktikan terutamanya melalui sistem pendidikan negara dan bukannya eropah yang menjadi sukatan pelajaran untuk kita,” tegasnya.

Awang turut mengajak umat rakyat Malaysia mempertahankan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi yang menjadi bahasa umat Islam di negara ini.

Mengikut kajiannya, beliau berkata, Maharaja Dinasti Ming di China dikatakan telah mengumpul bahasa asing, termasuk bahasa Melayu supaya dijadikan bahasa Islam yang penting di bawah pertubuhan bangsa-bangsa Islam.

“Orang China yang bukan Islam dan tak mengamalkan adat-adat dan budaya Melayu pun mengaku bahasa Melayu adalah bahasa Islam, masakan pula tidak diakui oleh penduduk di negara ini?” katanya. – 27 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.