KELUARGA arwah Muhammad Adib, Mohd Kassim mendapat kebenaran Mahkamah Koroner Shah Alam bagi permohonan komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba itu.

Koroner Rofiah Mohamad memutuskan permohonan itu selepas mendapati wujud prima facie atas imbangan kebarangkalian dalam kes inkues tersebut.

“Saya berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak yang dikemukakan sebelum ini. Mahkamah membenarkan permohonan ini atas alasan berlaku satu tindakan oleh Tommy yang menjurus kepada penghinaan mahkamah.

“Semasa prosiding inkues berlangsung, terdapat perkembangan untuk memberhentikan peguam iaitu, Syazlin Mansor yang boleh mencacatkan dan memudaratkan kelancaran inkues.

“Selain itu dalam afidavit yang dikemukan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada 3 April lalu, ia menjadi rentetan hingga ada gesaan supaya inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Keadaan itu sekali gus menimbulkan persepsi terhadap inkues yang dijalankan oleh saya atas arahan peguam negara sendiri seolah-olah sebagai satu permainan wayang,” katanya.

Mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai pendengaran dan pengurusan kes.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid bapa kepada Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner. – 27 Ogos 2019.

2 COMMENTS

  1. Semoga Allah swt singkapkan kebenaran atas yg batil dengan hukuman setimpal di dunia dan akhirat nanti…Ya Allah cucuri RahmatMu dan keampunanMu ke atas roh arwah Muhammad Adib Mohd Kasim…amin..

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.