PEGAWAI penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais tidak pernah terlibat dalam mana-mana siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu disahkan oleh rakan sejawat mendiang Kevin, Rosli Hussain pada perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Beliau (Kevin) tidak pernah terlibat dalam siasatan (SRC),” kata Rosli ketika sesi soal balas bersama ketua peguambela, Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah pada hari terakhir pendengaran saksi kes itu.

Keterangan saksi ke-57 itu sekali gus membongkar penipuan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mengaitkan kematian Kevin dengan Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

Pada 16 September 2015, Kevin ditemui mati dibunuh dengan kejam apabila mayatnya disimen dalam tong drum yang ditemukan di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah di Subang Jaya, Selangor.

Kematian Kevin itu menjadi modal politik pemimpin PH termasuk blog pro-DAP, Sarawak Report (SR) yang mendakwa mendiang terlibat dalam merangka kertas pendakwaan jenayah terhadap Najib dan kononnya menjadi punca kematiannya.

Pemimpin PH dan SR ketika itu mencetuskan persepsi bahawa kematian Kevin ada kaitan dengan kes rasuah yang dikaitkan dengan Najib.

Malah pemilik SR, Clare Rewcastle Brown pernah menyiarkan kertas pendakwaan itu yang kemudiannya disahkan palsu oleh pihak berkuasa pada ketika itu.

Clare Brown juga mendakwa Kevin merupakan pemberi maklumat kepadanya di SPRM.

Hari ini Rosli mengesahkan bahawa kertas pendakwaan itu tulen tetapi Kevin tidak pernah terlibat dalam merangkanya.

Namun Rosli memberi keterangan bahawa draf itu hanya untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas yang diketuai oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Gani Pattail berhubung derma Arab Saudi dan wang SRC International yang dimasukkan ke akaun Najib pada waktu itu.

Kewujudan kertas pendakwaan prasiasatan itu membuktikan bahawa wujud konspirasi dalam untuk menumbangkan Najib pada 2015. – NTHQiBord, 27 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.