KALAU nak tahu bangsa Melayu di Malaysia ni boleh bersatu atau tidak, kita kena hadamkan dulu kisah asam garam ‘rumahtangga’ UMNO-PAS dari awal.

Jangan percaya bulat-bulat apa orang politik bagi tahu. Kita ada sejarah yang dapat memberi panduan supaya kita tidak terkeliru.

Lepas faham kisah ‘rumahtangga’ UMNO PAS, lebih mudah untuk kita buat jangkaan samada orang Melayu boleh bersatu atau tidak.

Jom baca…

Pada 1946, UMNO ditubuhkan. Golongan agamawan ikut serta dalam parti ini. Orang Melayu tahu jika mereka tak bersatu, Tanah Melayu akan hilang pada British.

Golongan agamawan kebanyakannya berada di dalam sayap Biro Hal Ehwal Islam UMNO. Jika anda masih ingat kes Natrah di Singapura, Biro Hal Ehwal Islam UMNO antara yang lantang bersuara.

Kerana penyatuan orang Melayu pada 1946, akhirnya Malayan Union berjaya dimansuhkan pada 1948.

Tetapi tak lama selepas Malayan Union berjaya ditumbangkan, penyatuan ummah dalam UMNO mula menuju perpecahan. ‘Rumahtangga’ mula berantakan. Sudah goyang kata orang muda.

Pada tahun 1951, sebahagian besar golongan agamawan telah keluar dari parti UMNO dan menubuhkan Persatuan Islam SeMalaysia.

Uniknya, idea menubuhkan Persatuan Islam SeMalaysia ini (kemudian menjadi PAS-Parti Islam SeMalaysia pada tahun 1973) berlaku di dalam Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Maksudnya cadangan asal nak wujudkan ‘parti PAS’ datang dari dalam bangunan UMNO sendiri. Malah ‘roh’ Pas sendiri bermula dari Biro Hal Ehwal Islam UMNO. Ketika itu biro agama di bawah pimpinan Hj Ahmad Fuad.

Bermula dari biro agama Islam di bawah UMMO inilah, perjuangan para agamawan berkembang sebagai Persatuan Islam SeMalaysia (1951) kemudian sebagai PMIP (Pan Malayan Islamic Party (1955) dan seterusnya menjadi PAS (Parti Islam SeMalaysia) pada 1973.

Selepas bersama UMNO sejak 1946, akhirnya pada 1951, penyatuan ummah Melayu buat pertama kalinya telah terpecah dua kepada Melayu-UMNO dan Melayu-Persatuan Islam SeMalaysia.

Puncanya?

Masing-masing mahu merebut kuasa politik yang dijanjikan oleh penjajah. Golongan ulama tidak berpuashati dengan jumlah agihan kerusi pilihan raya yang dibuat oleh UMNO.

Kemudian mereka juga rasa tidak berpuas hati kerana banyak jawatan penting dalam kerajaan tidak diberikan kepada golongan agama sebaliknya telah diberikan kepada golongan berpendidikan barat oleh Tunku Abdul Rahman.

Dari tahun 1951 hinggalah 1969, UMNO dan PMIP (nama lama PAS) adalah parti yang saling bermusuhan dalam politik negara.

Menariknya, setiap kali UMNO dan PAS rasa mereka ‘terancam’ atau’ditekan’, maka idea ‘rujuk kembali lepas cerai’ atau penyatuan ummah akan disuarakan.

UMNO dan Pas akhirnya rujuk kembali selepas peristiwa 13 Mei 1969 atau lebih tepat rusuhan antara Melayu-Cina.

Orang Melayu UMNO dan PAS ketika itu mula merasa mereka tidak selamat. Mereka mula merasakan kuasa politik mereka tergugat.

Mereka mula merasa Islam dan kuasa Melayu mereka ‘terancam’ kerana kuasa ekonomi orang Cina ketika itu tidak dapat mereka lawan.

Setelah berbincang dan berunding, sekali lagi UMNO dan PAS bersetuju secara rasminya untuk rujuk kembali dan bergabung pada 1 Januari 1973. Beberapa pemimpin PAS telah dilantik sebagai Menteri peringkat Persekutuan.

Malah jika anda baca Memoir Allahyarham Datuk Asri Muda, anda akan dapati nama “Barisan Nasional” untuk mengantikan nama parti Perikatan itu sendiri adalah cadangan dari beliau, yang ketika itu beliau adalah pemimpin nombor satu PAS.

Jika dulunya cadangan untuk PAS ditubuhkan telah dibuat di dalam bangunan UMNO, kali ini nama Barisan Nasional pula telah dicadangkan oleh pemimpin nombor satu parti PAS. Pulak…

Usaha penyatuan ummah UMNO -PAS pada 1973 ini juga tidak bertahan lama. Sekitar pertengahan 1977, selepas 4 tahun bersama, sekali lagi ‘rumah tangga’ UMNO dan PAS tergugat dan mereka akhirnya ‘bercerai’ buat kali kedua.

Puncanya kerana kuasa juga. Semuanya kerana PAS dikatakan telah berjaya menguasai sokongan masyarakat Melayu luar bandar khususnya di kampung dan di Felda yang ketika itu dipimpin oleh Dato Asri Muda selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sebahagian pemimpin UMNO tidak gembira dengan situasi ini. Kebetulan orang Melayu majoritinya di kampung dan luar bandar.

Pemimpin UMNO rasa sokongan orang Melayu pada mereka semakin berkurangan.

Akhirnya PAS telah dikeluarkan oleh UMNO dari Barisan Nasional pada 17 Disember 1977. Buat kali kedua, bercerailah UMNO dan PAS.

Sejak tahun 1977, beberapa kali usaha ‘rujuk kembali’ antara UMNO-PAS telah diusahakan tetapi tidak ada yang berjaya.

Gagasan Kerajaan Perpaduan misalnya adalah sebahagian usaha itu. Tetapi tetap gagal.

Selepas 40 tahun perceraian UMNO-PAS sejak 1977, tiba-tiba pada tahun 2018 (selepas PRU14), idea ‘rujuk kembali’ atau penyatuan ummah kembali lagi.

Kali ini penyatuan ummah UMNO dan PAS nampaknya telah mula berjaya dan mengukuh. Buktinya PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, kerjasama UMNO dan PAS berjaya dilakukan dengan baik.

Sokongan orang Melayu pada penyatuan ummah UMNO-PAS juga meningkatkan mendadak.

Tahun 2018 adalah kisah ‘rujuk kembali’ kali kedua selepas 1973. Jika UMNO-PAS bercerai sekali lagi selepas PRU15 nanti, nampaknya mereka akan ‘bercerai talak tiga’. Kalau nak rujuk balik juga nanti, kenalah minta tolong ‘Cina Buta’… – 27 Ogos 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.