PADA 25 Julai 2018 satu berita berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) disiarkan oleh Utusan Online.

Berita berkenaan mendedahkan tentang penangkapan LTTE oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diperoleh daripada arkib Utusan Online.

Penangkapan itu melibatkan ketua kumpulan pemberontak LTTE, Selvarasa Pathmanathan pada 5 Ogos 2009 yang kemudiannya dihantar pulang ke negaranya.

Selain itu turut ditangkap kira-kira 17 anggota lain pengganas LTTE oleh Pasukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8), Bukit Aman kerana bersembunyi di negara ini.

Ahli kumpulan militan yang berasal dari Sri Lanka itu ditangkap di Kuala Lumpur, Perak serta Selangor dengan Petaling Jaya dan Klang menjadi lokasi popular.

Susulan penangkapan itu timbul persoalan adakah Malaysia jadi antara tempat persembunyian, transit atau tempat mencari dana untuk LTTE?

Penangkapan tersebut turut akui oleh kumpulan militan itu dalam kenyataan mereka yang menyatakan Pathmanathan ditahan di sebuah hotel dan kemudiannya disahkan oleh jurucakap tentera Sri Lanka, Brigedier Udaya Nanayakkara bahawa Pathmanathan dibawa ke Sri Lanka dan sedang disoal siasat.

Siapa Pathmanathan ini dalam LTTE? Apakah kumpulan LTTE ini?

LTTE adalah singkatan daripada Liberation Tigers of Tamil Eelam atau dalam bahasa Melayu Pembebasan Harimau Tamil Eelam.

LTTE sebuah kumpulan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran pada tahun 1975 dengan tujuan menubuhkan negara berasingan bagi etnik minoriti Tamil di utara dan timur pulau Sri Lanka.

Selepas peperangan yang panjang dengan kerajaan Sri Lanka, Prabhakaran akhirnya terbunuh pada18 Mei 2009. Tempatnya diganti oleh Pathmanathan

Kematian pengasasnya dalam serangan besar-besaran tentera Sri Lanka menyebabkan perjuangan LTTE dianggap berakhir.

Namun saki baki anggota yang tinggal dikatakan cuba meneruskan peperangan dari luar.

Sementara itu, Utusan Online turut melaporkan yang polis menahan lima lelaki berkaitan kumpulan pengganas terbabit pada 5 September 2016 rentetan daripada serangan terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Sahib Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kesemua suspek berusia 27 tahun sehingga 56 tahun itu ditahan di Dengkil, Selangor; Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Malaysia juga dipercayai digunakan sebagai tempat untuk kumpulan yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu untuk mengumpul dana berikutan penangkapan seorang anggota kanannya pada 2015.

Lelaki yang ditahan pada 7 Ogos 2009 itu dipercayai cuba mengumpul dana di negara ini untuk menghidupkan semula perjuangan kumpulan pengganas itu dengan memeras ugut warga Sri Lanka yang berada di negara ini.

Imbas kembali pada 20 April 2009. Dilaporkan, dalam sidang akhbar di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka, Setiausaha Hal Ehwal Luar Sri Lanka, Dr Palitha T. B. Kohona menyatakan LTTE mendapatkan dana dari rakyat Malaysia dan senjata dari sempadan Malaysia – Thailand.

Seorang lelaki Tamil Sri Lanka K.T. Pathmanathan, mengumpul senjata bagi LTTE dan senjata yang dibelinya dimuatkan ke dalam kapal di Asia Tenggara untuk dihantar ke Sri Lanka. Sering ke Malaysia dan Selatan Thailand beberapa kali dengan menggunakan pelbagai nama samara.

Namun, pautan berkaitan kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Sri Lanka ini telah dipadam.

Namun, pada 2018, tular di media sosial gambar Dr P Ramasamy bersama Vaiko atau V. Gopalasamy, ahli politik pro-LTTE. Gambar itu dirakam pada tahun 2017 dalam majlis perkahwinan.

Dalam Harian Metro siaran Jumaat, 20 Julai 2018, Sebanyak 53 laporan polis diterima bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy ekoran tindakannya berkongsi gambar bersama anggota kumpulan LTTE.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, laporan itu diterima pihaknya dari seluruh negara mendesak polis menyiasat kaitan Ramasamy dengan Vaiko selain laporan yang dibuat Ramasamy sendiri.

KPN ketika itu menyatakan bahawa polis akan meneliti dan menyiasat setiap laporan diterima itu.

Pada Sabtu, 21 Julai 2018, dalam the Star Ramasamy menafikan bahawa dia ada hubungan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

Ramasamy mengatakan peranan dia hanyalah perunding keamanan antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE pada tahun 2003 ketika masih menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sehingga kini laporan siasatan itu tidak pernah didedahkan. – 27 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.