TIMBALAN Presiden PAS mempersoalkan perkembangan lima kes kritikal membabitkan pemimpin DAP yang sehingga kini masih belum diputuskan oleh pihak polis.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan polis perlu memberitahu secara terperinci maklumat serta perkembangan siasatan memandangkan banyak laporan polis telah dibuat.

“Rakyat berhak untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan kes berkenaan supaya ia dilihat berjalan dengan telus dan adil,” katanya.

Lima kes tersebut ialah kes Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE), termasuk gambar yang dikatakan memaparkan anggota parlimen Batu Kawan itu melakukan ritual menyembah senapang Kalashnikov (AK-47).

Namun, Ramasamy tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan gambar berkenaan hanya untuk menunjukkan bahawa beliau sedang memberi penghormatan kepada gambar AK-47 itu di tugu peringatan mangsa pembunuhan beramai-ramai dalam konflik Sri Lanka.

“Kami mempromosikan keamanan, bukan keganasan,” katanya dalam satu laporan media tempatan.

Kes kedua, menurut Tuan Ibrahim, ia melibatkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang didakwa menuduh orang Melayu sebagai pendatang dan mahu mengetuk kepala guru-guru sejarah dalam satu program yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan, tahun lalu.

Kulasegaran menafikan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah serta pembohongan terhadap dirinya..

Selain itu, Kulasegaran yang merujuk gelaran pendatang tidak sepatutnya dibuat ke atas mana-mana kaum termasuk India, malah sama sekali tidak menyebut tentang orang Melayu.

Manakala, Tuan Ibrahim menjelaskan kes ketiga pula melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy yang mendakwa dan memfitnah kerajaan sebelum ini memberi layanan buruk, mendiskriminasi dan menzalimi masyarakat India di Malaysia pada 2007.

Pada perhimpunan Hindraf, Waythamoorthy selaku pengerusi perhimpunan tersebut menyifatkan sekatan terhadap perhimpunan itu menunjukkan kerajaan cuba mengecewakan usaha-usaha kaum India bagi mendapatkan keadilan terhadap layanan kerajaan terdahulu.

Perhimpunan itu juga cuba mendapatkan pampasan untuk kira-kira dua juta kaum India di Malaysia yang nenek moyang mereka di bahawa ke negara ini pada tahun 1800-an sebagai sebahagian daripada perkembangan empayar British.

Menurut Tuan Ibrahim, kes keempat pula melibatkan Exco Selangor, V Ganabatirau yang menuduh kumpulan Muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, Selangor dalam kejadian yang menyebabkan rusuhan di kuil tersebut.

Ganabatirau bagaimanapun tampil untuk menidakkan kenyataannya itu dibuat hanya berdasarkan apa yang diketahuinya ketika itu, dan sanggup membuat permohonan maaf atas kenyataannya itu bagi meredakan ketegangan kaum yang tercetus akibat rusuhan yang mengorbankan seorang anggota bomba itu.

Kes terakhir yang dirujuk Tuan Ibrahim adalah melibatkan Anggota Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto yang katanya menghina rakyat Kelantan dengan menjadikan kanak-kanak sebagai objek hiburan setelah pihak kerajaan negeri Kelantan tidak meluluskan lesen hiburan.

Kasthuriraani menyoal tindakan kerajaan negeri Kelantan yang menyekat lesen pusat hiburan di negeri itu.

“Maka adakah kanak-kanak menjadi hiburan?,” katanya dalam satu hantaran di media sosial Disember tahun lalu.

Tuan Ibrahim bagaimanapun masih menegaskan bahawa pihak polis perlu memberi penjelasan berhubung kelima-lima kes tersebut memandangkan ia menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Lima kes yang melibatkan pemimpin DAP ini sangat kritikal kerana ia telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Ia boleh mencetuskan ketegangan kaum,” katanya. – 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.