GABUNGAN Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM) akan membuat dua tuntutan kepada kerajaan DAP-PH dalam usaha memperjuang nasib mereka.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, dua tuntutan itu ialah mewujudkan persatuan teksi di bawah akta khusus serta meletakkan syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing sebagai teksi.

Tuntutan itu mendapat sokongan pemandu teksi dari lima buah negeri yang membabitkan keahlian kira-kira 70,000 pemandu.

Menurut Kamarudin, memorandum tuntutan berkenaan akan diserahkan kepada Majlis Senator Malaysia pada 30 September ini.

“Setakat ini kami mendapat sokongan 70,000 pemandu teksi dan kereta sewa melibatkan 180 persatuan pemandu teksi di Johor, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan.”

“Kami akan meneruskan siri jelajah ke seluruh negara dan terdekat GTSM akan mendapatkan sokongan daripada pemandu teksi di Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu Kamarudin berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan syarikat pengendali perkhidmatan e-panggilan.

Beliau berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan isu-isu yang berlaku seolah-olah meminggirkan tuntutan mereka sebelum ini.

Katanya, pemandu teksi di negara ini kecewa kerana kerajaan seolah-olah tidak membela nasib pemandu teksi sebagai mana yang pernah dijanjikan sebelum pilihan raya umum lalu.

Sebelum PRU14, Pakatan Harapan pernah berjanji akan menghapuskan perkhidmatan e-Panggilan. Namun, janji tersebut sukar dilaksanakan.

Terkini, muncul pula cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan menggunakan motorsikal pula.

Nasib pemandu teksi masih jauh daripada terbela. Sudahlah pertelingkahan dengan perkhidmatan e-panggilan masih belum selesai, kini mungkin akan lebih buruk jika perkhidmatan motorsikal pula diluluskan. – 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.