AHLI Pimpinan PKR Selangor memberi teguran bahawa kepimpinan parti itu sepatutnya lebih peka terhadap program parti berbanding perkara lain.

Rodziah Ismail berkata, semua pihak sepatutnya sedia maklum terhadap perkara itu dengan mematuhi apa jua peraturan ditetapkan parti termasuk mengutamakan mesyuarat dan program parti.

“Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memberi keutamaan terhadap parti sekali pun berjawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

“Perkara ini jelas kerana presiden semasa Majlis Temu Rapat Pimpinan Pusat di Port Dickson lalu amat menitikberatkan soal kehadiran dalam mesyuarat parti,” katanya.

Jelas Rodziah, tindakan beberapa pemimpin PKR tidak hadir pada mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) bulanan yang berlangsung di ibu pejabat PKR semalam adalah tidak patut berlaku.

“Pemimpin terbabit sepatutnya hadir memandangkan mereka merupakan kepimpinan penting yang dipilih ahli dalam pemilihan lalu.

“Saya rasa jawatankuasa disiplin boleh melihat perkara ini (mengikut peraturan sedia ada),” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi negeri berkata, beliau sendiri turut mendahulukan parti jika dipanggil hadir ke mesyuarat walaupun memegang jawatan penting di peringkat negeri.

Di samping itu, semua pemimpin parti itu jelas semasa sesi Temu Rapat Julai lalu sudah membuat aku janji agar memberi keutamaan kepada kepentingan kepada rakyat, selain mematuhi apa jua peraturan parti ditetapkan.

“Perkara ini sangat jelas dan mereka seharusnya memberi keutamaan dan melaksanakan aku janji terbabit,” ujarnya. – 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.