KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Begitulah ibarat yang boleh dikatakan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Akibat keceluparannya menggelarkan Skuad Sabil yang ditubuhkan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai ‘Pak Guard dari Bangladesh’, pemuda UMNO telah membuat laporan polis.

Laporan polis itu dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan oleh Sekretariat badan bukan kerajaan (NGO) Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan Muhammad Faiz Hashim.

“Pada status itu beliau turut meletakkan gambar Skuad Sabil iaitu kumpulan sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia bersama Presiden UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Kenyataan ini memberi gambaran salah yang boleh memberi persepsi kepada orang awam terutama pengguna Twitter dan media sosial bahawa Pemuda UMNO adalah pendatang asing dari Bangladesh,” katanya.

Muhammad Faiz menegaskan, kenyataan Tzi Tzin itu merupakan fitnah jahat yang akan menjatuhkan maruah Pemuda UMNO.

Muhammad Faiz mahu Tze Tzin disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan Seksyen 500 Kanun sama kerana melakukan fitnah.

Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Skuad Sabil ditubuhkan di bawah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tujuan penubuhannya ialah berkaitan dengan kawalan keselamatan pemimpin UMNO dan kerja-kerja kebajikan ketika perlu.

Penyertaan mereka ke dalam skuad Sabil adalah secara sukarela. – 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.