KETUA Polis Daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung gangguan sistem lapangan terbang itu yang berlaku sejak Rabu lalu.

Zulkifli Adamsah berkata, laporan berkenaan itu diterima hari ini oleh seorang pengurus kanan bahagian teknologi maklumat yang juga merupakan salah seorang pengendali lapangan terbang MAHB.

“Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu laporan media tempatan.

Jelas beliau, seksyen 427 Kanun Keseksaaan adalah merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan semalam tidak menolak kegagalan sistem rangkaian di KLIA itu berpunca daripada perbuatan khianat yang berniat jahat.

Menurutnya, jumaat lalu, MAHB dilaporkan berkata kegagalan rangkaian dikenal pasti sebagai punca gangguan sistem di KLIA dan telah mengambil langkah untuk menggantikan peralatan rangkaiannya.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Namun, tambah Zulkifli, semasa laporan dibuat tiada bukti dikemukakan atau diserahkan kepada polis. – 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.