SETIAUSAHA PRO 98 Reformis Perak menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap rakaman audio seorang pembantu Exco kerajaan negeri yang cuba berunding dengan pihak berkuasa.

Menurut Sazali Shamsudin, enam laporan polis telah dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung tindakan exco berkenaan yang cuba berunding mengenai dakwaan rasuahnya.

“Sekiranya tiada siasatan dilakukan terhadap pembantu Exco terbabit yang cuba berunding dengan seorang pegawai polis bagi menyelesaikan kes rasuah itu, ia akan menyebabkan ketelusan PDRM terus dipertikai.

“Ia juga memberi persepsi buruk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan integriti dan ketelusan dalam pentadbirannya,” katanya.

Sazali menjelaskan, siasatan segera perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia akan menjejaskan kewibawaan kedua-dua pasukan berkenaan.

Selain itu, menurut beliau, laporan polis itu dibuat berdasarkan satu artikel penafian oleh Abdul Yunus Jamhari bertajuk ‘Exco Perak nafi audio cuba kautim Polis, SPRM’ seperti yang dilaporkan sebuah portal berita pada 15 Ogos lalu.

“Pihak SPRM juga perlu mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan nama pasukan itu daripada tuduhan seperti mana dalam rakaman audio berkenaan.

“Menerusi rakaman itu, pemanggil juga mendakwa telah berunding dengan pihak SPRM berkaitan dakwaan yang dihadapi Exco terlibat.

“Kami minta agar pihak polis dan SPRM siasat perkara ini.

“Pembantu Exco itu juga perlu dipanggil bagi mengesahkan sama ada suara dalam rakaman itu adalah miliknya atau orang lain.

“Dalam kes ini, kami juga meminta agar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merehatkan Exco berkenaan daripada menjalankan tugas supaya tidak mengganggu siasatan,” ujarnya.

Laporan tersebut dibuat oleh Pertubuhan Rangkaian Organisasi 98 @ Reformasi Perak (PRO 98 Reformis Perak), Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Pertubuhan Prihatin Rakyat Perak, Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih Taiping, Pertubuhan Ikatan Komuniti Daerah Larut, Matang dan Selama dan Persatuan Integrasi dan Kebajikan Kinta Perak.- 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.