KERAJAAN perlu bertindak lebih tegas menangani pihak yang suka mencetuskan kontroversi bagi mengelakkan situasi yang lebih teruk berlaku, gesa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Amir ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, pihaknya mendapati tiada tindakan tegas pihak berkuasa walaupun banyak banyak insiden yang menyakitkan hati masyarakat, khususnya orang Melayu kebelakangan ini.

Jelasnya, sikap ‘acuh tak acuh’ itu akhirnya menyebabkan kebanyakan orang Melayu yang menjadi mangsa provokasi, berasa marah serta memendam rasa tidak puas hati.

“Ini akan jadi lebih parah apabila pihak berkuasa dan kerajaan dilihat lebih tegas terhadap salah laku pihak yang diprovok, dan membiarkan pihak yang mulakan provokasi tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Adakah sebenarnya kerajaan tidak sedar terhadap apa yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat atau bertindak berat sebelah atas dorongan politik,” katanya kepada portal pertubuhan Islam dan Melayu itu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang giat menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R), yang boleh mencetuskan sentimen kebencian antara kaum.

Abdullah menyambut baik amaran tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pihak yang cuba mencetuskan sentimen kebencian antara kaum.

Namun katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bersikap lebih adil dan tidak berat sebelah apabila melaksanakan ketegasan mereka.

“Saya nak ingatkan kepada KDN bahawa sikap berat sebelah atau tindakan terpilih kepada pihak tertentu dalam melaksanakan kedaulatan undang-undang akan menyebabkan rakyat bertindak sendiri, bahkan situasi akan menjadi lebih parah,” katanya.

Baru-baru ini, rata-rata rakyat menyuarakan kebimbangan terhadap Himpunan Puratchi (revolusi) di Brickfields yang dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum susulan polemik pelaksanaan silibus seni khat dan jawi di sekolah vernakular.

Himpunan itu bersurai lebih awal susulan tindakan pantas polis menahan penganjurnya.

Rakyat melihat himpunan itu sebagai provokasi kerana isu seni khat dan jawi sudah selesai apabila kerajaan memberi pilihan kepada PIBG sekolah untuk meneruskannya atau tidak.– 27 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.