KETUA Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan memberi perhatian serius terhadap tindakan pemimpin politik yang dilihat cenderung terlibat dengan kumpulan yang dilabel pengganas.

“Terbaharu, tindakan pemimpin DAP, Dr Ramasamy Palanisamy dalam siaran langsung wawancara eksklusif bersama Editor Republic, Niranjan di stesyen televisyen negara India yang secara tegas mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri dalam isu Dr Zakir Naik.”

“Malah, memberi bayangan berbaur keganasan bahawa Dr Zakir Naik tidak layak hidup di Malaysia mahupun di mana-mana dunia bertamadun,” kata Kamaruzaman dalam suatu kenyataan.

Menurut Kamaruzaman, sebelum ini, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pernah dilaporkan mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.

Bahkan katanya, tersebar juga gambar beliau bersama Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy menyembah lambang Kalashnikov atau rifle AK-47 yang menjadi ritual kumpulan pemberontak tersebut.

“Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP ini turut pernah memuat naik di media sosial gambarnya bersama Setiausaha Agung Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK), Gopalasamy Vaiko.”

“Selain itu pernah juga dimuat naik gambar Gopalasamy yang terbabit bersama LTTE. Gopalasamy hadir ke majlis perkahwinan anak Ramasamy di Pulau Pinang pada tahun 2017,” kata Kamaruzaman.

Kata Kamaruzaman ekoran akrabnya Ramasamy dengan pimpinan LTTE, maka banyak laporan Polis dibuat ke atasnya.

Katanya, PAS mendesak KDN mendedahkan status siasatan yang sudah berusia lebih satu tahun itu.

“Mengapa tiada tindakan sehingga sekarang? Apakah adanya campur tangan politik? Sedangkan Council of European Union menyenaraikan LTTE sebagai antara pertubuhan pengganas.”

“Maka, PAS menuntut satu tindakan segera dan tegas terhadap sekian banyak laporan Polis yang telah dibuat agar aktiviti berunsur keganasan ini dapat dihentikan segera daripada merebak dan seterusnya menjejaskan keharmonian negara,” katanya lagi.

Ramasamy merupakan salah seorang pemimpin India DAP yang lantang mendesak Dr Zakir Naik dihalau keluar dari Malaysia.

Ramasamy juga pemimpin DAP yang mahu Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan. – 27 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.