AHLI Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menegur Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr Juli Edo.

Teguran Ramli itu akibat daripada kegagalan Jakoa dan Jabatan Perdana Menteri gagal membuat pembayaran kepada pengusaha bas yang membawa anak-anak orang Asli ke sekolah.

Akibatnya, pengusaha bas membuat aduan kepada Ramli bahawa mereka akan memberhentikan perkhidmatan itu serta merta.

“Saya memandang serius berkaitan isu berkenaan dan mempersoal pihak kerajaan mengapa perkara sebegini boleh terjadi dan meminta kerajaan untuk memberikan penjelasan serta menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” kata Ramli dalam suatu kenyataan.

Menurut Ramli, kebanyakan pengusaha bas ini orang Asli sendiri dan mereka telah tidak menerima bayaran sehingga lima bulan. Keadaan itu menyebabkan pengusaha bas tidak lagi mampu menampung kos berkaitan.

“Isu ini perlu mendapat perhatian daripada kerajaan khususnya Jakoa dan JPM. Perkara ini tidak pernah berlaku semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Ramli melahirkan kebimbangan akan nasib anak-anak Orang Asli di Cameron Highlands dan seluruh negara yang tidak ke sekolah sekiranya perkhidmatan bas ini dihentikan.

Menurut Ramli Ketua Pengarah Jakoa patut menumpukan usaha dan daya untuk melaksanakan dasar-dasar memajukan Orang Asli, bukan sekadar retorik teori.

Ramli menegur Ketua Pengarah bahawa tugasnya sebagai pentadbir dasar, bukan seorang ahli politik yang bercakap bagi menentu agama apa yang sepatutnya Orang Asli anuti atau cara hidup yang wajib diikuti oleh masyarakat Orang Asli.

“Beliau kena peka beza antara seorang pentadbir dan seorang ahli politik, di mana beliau tidak boleh memakai kedua-dua ‘topi’ politik dan pentadbir dalam masa yang sama,” katanya.

Profesor Dr Juli Edo merupakan Ketua Pengarah Jakoa ke-17 menggantikan Datuk Ajis Sitin yang ditukarkan selepas PRK Cameron Highlands yang dimenangi Ramli Mohd Nor.

Ajis Sitin merupakan orang Asli pertama menjawat jawatan Ketua Pengarah Jakoa. – 28 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.