PADA 23 Ogos lalu cheGuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin berkongsi dengan saya satu catatan beliau mengenai “kegiatan melobi dan memasukkan bukan Bumiputera bagi mengawal syarikat berkepentingan negara melalui lobi Kementerian Kewangan” yang “dilihat berleluasa” di mana “cap jari Tony Pua (Setiausaha Politik Lim Guan Eng)” dikatakan “berada di banyak tempat dan ia sangat perlu diperhatikan”.

Lebih khusus lagi, disebutkan mengenai sebuah institusi yang menjadi medan membangunkan ribuan usahawan dan ahli korporat serta medan latihan ribuan korporat Bumiputera, iaitu Sime Darby, dikatakan sedang dijarah melalui penjualan aset strategik dan serangan ke atas Sime Darby Property.

Dakwaan spesifik yang dibuat adalah mengenai tindakan Lembaga Pengarah Sime Darby Property pada 15 Ogos 2019 menerusi campur tangan dari Kementerian Kewangan melantik Pengarah Eksekutif EcoWorld Development Group Berhad, Datuk Voon Tin Yow, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby Property.

Didakwa bahawa CEO baru ini akan ditetapkan bakal memperoleh RM265,000 sebulan berbanding Pemangku CEO sebelum ini, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri , yang dikatakan hanya menerima RM62,000 sebulan.

Tanya cheGuBard: Apa rasionalnya melantik bukan bumiputera yang bukanlah punya rekod yang sangat cemerlang dengan tanggungan setinggi RM265,000 sebulan?

Satu lagi isu yang disebutkan oleh cheGuBard adalah mengenai Sime Darby tidak memberikan ruang kepada profesional bukan Melayu sebelum ini di mana di peringkat senior management ia dikatakan dikuasai oleh bukan bumiputera (60 peratus).

Dakwa beliau, dengan kemasukan Datuk Voon Tin Yow ini dijangkakan jumlah senior management bumiputera bakal terus menyusut teruk malah perlahan-lahan Sime Darby akan berubah wajah.

Pada 26 Ogos lalu, pendedahan sama diulangi diulangi oleh Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, dalam bentuk pertanyaan kepada Lembaga Pengarah Sime Darby Property:

1.Adakah benar gaji Pemangku CEO sekarang (Bumiputera) dalam RM60,000 sebulan dan gaji yang dicadangkan untuk CEO baru (bukan Bumiputera) RM260,000 lebih?

2.Adakah benar hanya 40 peratus pengurusan kanan Sime Darby Property terdiri daripada Bumiputera?

Agak pelik kerana:
1.Sehingga ke hari ini MalaysiaKini yang sebelum ini cukup gemar melaporkan apa-apa kenyataan Datuk A Kadir Jasin masih belum melaporkan pertanyaan Datuk A Kadir Jasin ini.

2.Sehingga ke hari ini Sime Darby Property melalui Ahmad Shahriman Johari, Head of Corporate Communicationsnya, masih belum mampu menjawab pertanyaan Datuk A Kadir Jasin ini.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Penganalisis Politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.