KERAJAAN Perak perlu beri penjelasan terperinci berhubung pembelian kereta berjenama Toyota Camry untuk tujuan rasmi, kata ketua pembangkang negeri itu.

Ia susulan kenyataan bercanggah dikeluarkan oleh pemimpin kerajaan negeri berhubung pembelian kenderaan itu.

Pada sidang DUN lepas, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi menjawab bagi pihak kerajaan memaklumkan harga kereta Toyota Camry berharga RM190,000 seunit itu dibeli pada harga RM109,000 seunit kerana mendapat pelepasan cukai.

Namun semalam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa pembelian 16 kereta Toyota Camry, Jun lalu adalah berpatutan meskipun tidak mendapat pengecualian cukai bagi kenderaan itu.

Ketua pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, sepatutnya penjelasan di dalam Sidang DUN lalu selari dengan kenyataan dibuat Ahmad Faizal semalam.

Tetapi Saarani berkata, pihaknya mendapati penjelasan dibuat sebelum ini oleh wakil kerajaan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza dengan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam.

Kata Saarani, tindakan itu disifatkan sebagai menipu DUN berikutan ‘hansard’ mengatakan pembelian kereta tersebut mendapat pelepasan cukai.

“Wakil kerajaan telah jawab dalam Dewan dan jawapan atau fakta itu salah. Dia sebenarnya telah menipu Dewan. Ada peruntukan dalam Perintah-Perintah Tetap DUN bagaimana hukum dan peraturan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbohong di dalam Dewan.

“Mengapa perlu tipu rakyat? Mengapa perlu disembunyikan fakta sebenar? Kalau tiada pengecualian, beritahu sahajalah, jangan cuba berselindung.

“Perkara ini kena dijelaskan oleh kerajaan negeri,” katanya menurut laporan media.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kewangan semalam bahawa Perak tidak diberikan pengecualian cukai dalam pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi. – 28 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.