PENGUSAHA bas untuk pelajar Orang Asli di Cameron Highland mungkin akan menamatkan operasi mereka.

Hal ini kerana pengusaha pengangkutan bas terbabit tidak lagi menerima bayaran secara konsisten oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia.

Jabatan Kemajuan Orang Asli atau JAKOA merupakan sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diketuai Rina Harun.

Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor dalam satu kenyataan akhbar berkata, kontraktor pengangkutan bas tersebut tidak menerima bayaran dari kerajaan selama lima bulan hingga menghadapi masalah kekurangan modal.

“Impak kemungkinan perkhidmatan ini diberhentikan berpunca dari kegagalan pihak JAKOA dan Jabatan Perdana Menteri tidak membuat bayaran upah bagi mengangkut anak-anak Orang Asli di sekitar Cameron Highland,”

“Perkara ini tidak pernah berlaku ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dahulu,” tulisnya.

Ramli juga menzahirkan kekecewaan kepada Jabatan Perdana Menteri yang tidak menunaikan janji untuk memperkasa hal ehwal Orang Asli.

Menurut Ahli Parlimen Barisan Nasional itu, permasalahan ini boleh menyebabkan anak-anak Orang Asli keciciran pembelajaran kerana tiada pengangkutan untuk ke sekolah.

Beliau merupakan satu-satunya ahli parlimen dari kalangan Orang Asli, bertekad untuk terus memperjuangkan suku kaum itu, biarpun dipandang sepi di era Malaysia Baharu. – NTHQiBord, 28 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.