KRISIS pencemaran di Pasir Gudang Johor nampaknya tiada kesudahan apabila satu lagi kes terbaharu dilaporkan hari ini.

Kali ini seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, dilaporkan mengalami loya dan muntah-muntah, selepas mengadu terhidu bau busuk di sekolah berkenaan.

Kesemua murid membabitkan lima lelaki dan 28 perempuan. Seramai 17 daripada mereka adalah murid tahun empat, tujuh murid tahun lima dan sembilan murid tahun enam.

Pada awalnya seramai 25 murid dilaporkan mengalami simptom berkenaan pada kira-kira 7.30 pagi, sebelum bertambah kepada 33 murid pada 9 pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor, Ab Rahim Lamin.

Ab Rahim berkata, kesemua mereka sudah dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk rawatan dan pihak sekolah juga sudah menghubungi bomba untuk tindakan bersesuaian.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 33 murid juga, 17 daripada mereka iaitu tiga murid lelaki dan 14 perempuan adalah murid terkesan berulang iaitu pernah mengalami simptom berkenaan sebelum ini.

Katanya, sesi persekolahan, bagaimanapun, diteruskan dengan memindahkan kesemua murid yang berada di tingkat tiga dan empat ke bangunan-bangunan di tingkat bawah.

Beliau berkata, SK Taman Pasir Putih mempunyai keseluruhan 1,119 murid dengan dua sesi persekolahan.

Sebelum ini pencemaran di Pasir Gudang menggemparkan negara apabila ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ekoran pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.

Beberapa bulan kemudian, pencemaran udara berlaku sekali lagi di daerah itu sehingga memaksa puluhan sekolah ditutup. – 28 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.