PERTAMA sekali, iPeguam ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan peguam yang telah mempertahankan kewibawaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan cemerlang sekali.

iPeguam juga ingin menegaskan bahawa usaha untuk mempertahankan Islam, institusi-institusi Islam masih boleh dilakukan di mahkamah sivil di negara ini.

Umum mengetahui bahawa institusi-institusi Islam seperti Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Fatwa, Jabatan Mufti, Masjid, Majlis Agama Islam dan seumpamanya adalah institusi-institusi yang dihormati dan dipandang tinggi oleh umat Islam.

Justeru itu adalah munasabah untuk mempertahankannya apabila terdapat mana-mana usaha untuk menjatuhkan atau merosakkan kewibawaan masing-masing.

Bagaimanapun, perlu juga diakui bahawa seperti mana institusi-institusi lain juga, sebarang kelemahan dari segi pentadbiran, pengurusan dan polisi-polisi masih boleh diperbaiki dan diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Ini adalah perkara biasa dan tidak boleh menjadi satu alasan bahawa peranan institusi-institusi berkenaan perlu dikaji dan dirombak semula atau dihapuskan.

Sebagai salah satu benteng untuk mempertahankan kedaulatan Islam dan maslahat umat Islam, maka peranan institusi-institusi agama Islam di Malaysia semakin relevan dan mencabar pada hari ini.

Cabaran-cabaran yang lebih bersifat ancaman, seperti bahaya ajaran-ajaran dan ideologi-ideologi sesat seperti Syiah, liberal, sekular, feminisma, Evangelisma, sosialisma dan seumpamanya menuntut kepada peranan yang lebih berkesan dan bersungguh-sungguh daripada semua pihak, dan tidak seharusnya dibebankan ke atas institusi-institusi di atas semata-mata.

Ancaman-ancaman ini akan sentiasa datang silih berganti dalam pelbagai bentuk dan mereka tidak akan berhenti sehinggalah kekuatan umat Islam dapat dilumpuhkan atau jati diri dan pemikiran umat dapat dikuasai.

Malah, mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri, terdapat lebih kurang 5000 aduan tentang kenyataan atau artikel-artikel provokatif terhadap Islam yang telah dicatatkan sejak jabatan tersebut melancarkan Unit Pemantauan dalam bulan Mac 2019.

Berhadapan dengan semua ancaman dan bahaya ini, adalah menjadi satu kewajiban dan keutamaan bagi umat Islam supaya berwaspada dan pada waktu yang sama membongkarkan tipu muslihat yang dirancang terhadap kepentingan umat dan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Bahaya yang dibawa oleh agen-agen perosak ini bukan sahaja merupakan satu ancaman kepada umat Islam, tetapi juga kepada masyarakat bukan-Islam dan kedaulatan negara, watan dan tanahair sendiri.

MUHAMMAD LUTTFI ABDUL KHALID,
Pengerusi Ikatan peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam).

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.