KEMELUT Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertambah celaru hanya disebabkan tiga pucuk surat yang tidak berjawab.

Tiga pucuk surat itu jugalah menyebabkan sebahagian pimpinan kanan parti itu tidak hadir banyak kali mesyuarat.

Perkara itu didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin ketika ditanya punca tidak hadir mesyuarat parti.

Menurut Zuraida, sebanyak tiga pucuk surat telah dihantar kepada Anwar untuk membolehkan beliau dan beberapa pemimpin lain bertemu tetapi permintaan itu tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.

“Untuk peringkat awal cukup saya katakan ada beberapa perkara yang kita buat permintaan pada presiden (Anwar) yang setakat ini beliau belum tunaikan.”

“Ia adalah untuk bertemu Presiden. Permintaan itu untuk kita berdamai dan selesaikan beberapa perkara, ia pertemuan Presiden bersama anggota Majlis Pimpinan Pusat yang dipilih dalam pemilihan parti,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Selain Zuraida, beberapa pimpinan yang disifatkan berada di kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk Pengerusi PKR Selangor yang juga Menteri Besar Amirudin Shari tidak hadir ke beberapa mesyuarat parti termasuk Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada Ahad lepas.

Sejak meletupnya video skandal seks yang dikatakan mirip Azmin Ali beberapa bulan lalu, PKR masih bergelut untuk menyatukan ahli parti.

Sehingga kini tiada tanda-tanda kedua-dua pihak bersedia melakukan genjatan senjata.

Malah kelihatan masing-masing dalam kedudukan berjaga-jaga sambil menunggu dan melihat pergerakan lawan seterusnya.

Cuma, isu ini agak sejuk sedikit kerana diredakan oleh isu Zakir Naik yang memuncak ketika itu dan kini, selepas isu pendakwah itu makin menyejuk, timbul pula pendedahan yang dibuat oleh Zuraida.

Tunggulah apa akan berlaku seterusnya selepas ini. – 29 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.