Kalau saya Menteri Pelajaran…

0

KALAU hari ini saya dilantik sebagai ‘Menteri Pelajaran’, bagi saya 24 jam, bukan 24 hari, bukan 24 bulan.. 24 jam. Saya akan umumkan:

DASAR SIFAR GURU DUKALARA. Sebab adalah kejam pisahkan suami dan isteri hanya kerana mereka terpaksa bertugas ditempat yang berjauhan.

DASAR TIADA LAGI KERJA RUMAH untuk pelajar. Semua tugasan dan latihan mestilah dirancang olah guru supaya diselesaikan di sekolah.

Kerja rumah membuktikan perancangan pembelajaran sudah gagal. Banyak kajian menunjukkan kerja rumah tidak perlu bila pengajaran guru berkesan.

DASAR SEMUA PENGETUA CEMERLANG DAN GURU CEMERLANG yang baru dilantik wajib mengajar dan menyelesaikan masalah di sekolah risiko tinggi, sekolah pencapaian rendah dan sekolah pendalaman kurang kemudahan.

Mereka akan diberikan elaun khas atas kecemerlangan mereka. Selepas 3-5 tahun berkhidmat di sekolah berkenaan dan berjaya mencapai sasaran kerja, mereka diberikan keutamaan untuk memohon berpindah ke mana- mana sekolah lain yang mereka berminat bergantung pada kekosongan.

DASAR 25 pelajar satu kelas dilaksanakan sepenuhnya secara beransur ansur dalam tempoh tiga tahun. Selepas tiga tahun tidak ada lagi bilik darjah yang mempunyai pelajar melebihi 25 orang.

DASAR ETIKA GURU. Semua guru besar dan guru yang mempunyai masalah disiplin dan etika kerja , selepas melalui proses kaunseling dan amaran mestilah ditamatkan perkhidmatannya dalam tempoh enam bulan selepas laporan lengkap masalah mereka diperakukan oleh Jabatan Pendidikan.

Kelambatan memproses guru bermasalah akan menyebabkan pelbagai pihak menjadi mangsa khususnya para pelajar.

DASAR RINGANKAN BEG SEKOLAH. Semua buku teks sekolah rendah tidak perlu dibawa pulang setiap hari. Pelajar sekolah rendah boleh meninggalkan buku teks mereka di dalam loker yang disediakan di sekolah.

DASAR PEMERKASAAN BAHASA INGGERIS PERBUALAN. Subjek bahasa Inggeris akan hanya bermula di tingkatan satu sehingga tingkatan tiga. Di kebanyakan negara maju bukan penutur Bahasa Inggeris, subjek bahasa Inggeris hanya bermula di sekolah menengah.

Yang penting ialah keberkesanan pembelajaran bukannya berapa lama Bahasa Inggeris diajarkan. Dalam tempoh tiga tahun, semua pelajar mestilah dipastikan menguasai bahasa Inggeris perbualan. Kaedah mengajar sangat perlu di transformasikan.

Pelajar tingkatan tiga akan lalui penilaian MUET lisan bahasa Inggeris untuk memastikan pencapaian mereka.

Bahasa Inggeris kemudian akan lebih didalami di tingkatan empat dan lima sehingga ke universiti. Tidak ada mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah. Pelajar sekolah rendah wajib belajar bahasa Melayu dan bahasa Ibunda sahaja.

DASAR SIFAR GURU PONTENG KELAS. Pentadbir Sekolah wajib pastikan tiada guru melakukan perbuatan ponteng kelas.

Semua ketidakhadiran guru ke bilik darjah mestilah dimaklumkan lebih awal pada pelajar dan direkodkan serta mendapat kelulusan bertulis dari guru besar atau pengetua terlebih dahulu.

Ada soalan? Atau ada yang nak bangkang cadangan “Menteri Pelajaran” ni?

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UTM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.