BEBERAPA hari lalu tular video yang menunjukkan seorang lelaki Melayu dikerumuni sekumpulan lelaki Cina.

Dalam video tersebut kelihatan seorang lelaki Cina membawa parang, sementara yang lain mengepung lelaki Melayu tersebut.

Namun, pihak polis kemudiannya mengesahkan kejadian itu berlaku di Padawan, Sarawak dan tidak ada kena mengena dengan pergaduhan kaum.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar jangan cepat percaya hasutan dengan mengatakan kejadian itu berbaur perkauman, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan.”

“Mohon tentukan faktanya sebelum terpengaruh, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan memburu individu yang mengeluarkan parang dalam kes gaduh itu,” kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata kejadian itu sebenarnya adalah kes penipuan yang melibatkan seorang lelaki yang menipu sekumpulan lelaki dengan menjanjikan habuan lebih kepada mereka jika menang loteri.

Menurut Abdul Hamid, kumpulan lelaki itu telah mencari suspek sejak beberapa hari lepas dan sebaik terserempak dengan suspek hari ini, mereka cuba menahannya.

“Tindakan mengepung suspek tidak menjadi masalah… tetapi yang menjadi masalah kenapa salah seorang daripada mereka perlu membawa parang?” katanya.

Katanya, pihak polis sedang berusaha mengesan individu yang membawa parang kerana tindakan itu merupakan satu ugutan jenayah, satu kesalahan undang-undang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Polis juga katanya telah menahan dua lelaki tempatan kerana cubaan menipu dalam kes berkenaan.

Dalam suasana politik yang hangat hari ini, sebarang cetusan kecil akan mudah merebak menjadi pertembungan antara kaum. – 29 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.